suria

Lapan Pelajar Maut Dalam Runtuhan Salji Di Jepun

-fotoAFP

TOKYO: Lapan pelajar sekolah tinggi yang sedang melakukan aktiviti mendaki gunung di Jepun maut dalam kejadian runtuhan salji dan lebih daripada 30 yang lain cedera, Isnin.

Lebih daripada 100 tentera telah dikerahkan dalam usaha menyelamat besar-besaran selepas runtuhan salji melanda cerun ski di wilayah Tochigi.

Rakaman televisyen menunjukkan anggota penyelamat sedang mendaki gunung-ganang, manakala ambulans berada dalam keadaan siap sedia.

Sekumpulan 52 pelajar dan 11 guru dari tujuh buah sekolah tinggi sedang mengikuti program mendaki gunung apabila bencana itu melanda, menurut pihak berkuasa.

Amaran salji lebat dan kemungkinan runtuhan salji pada Ahad hingga Isnin di kawasan utara Tokyo telah dikeluarkan, dengan agensi ramalan cuaca tempatan meramalkan salji setebal kira-kira 30 sentimeter akan turun.

Di Jepun, kematian dalam keadaan sedemikian tidak akan dimumkan secara rasmi sehingga doktor membuat pengesahan.

Lebih daripada 30 orang telah cedera menurut agensi berita Kyodo.

"Kami masih tidak tahu berapa ramai guru termasuk di kalangan mangsa," kata seorang pegawai.

Runtuhan itu berlaku di bandar Nasu, 120 kilometer (75 batu) di utara Tokyo pada hari terakhir lawatan, menurut pihak berkuasa Tochigi, sambil menambah tentera telah dihantar untuk operasi menyelamat atas permintaan gabenor wilayah itu.

"Ini adalah acara tahunan dan kami tidak pernah berdepan kemalangan besar sebelum ini," salah seorang guru memberitahu Jiji Press.

"Saya benar-benar terkejut."

Resort ski ini telah ditutup untuk musim ini, menurut laman web pengendali, dengan lif dihentikan dan tanpa ada pemain ski.

Tetapi beberapa kemudahannya dibuka untuk lawatan mendaki gunung sekolah tinggi yang dianjurkan oleh pihak berkuasa pendidikan jasmani tempatan.

runtuhan salji, Tochigi, resort ski

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain