suria

Penunggang Motosikal Patah Kaki Dalam Kemalangan Dirakam Kamera

SINGAPURA: Seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun patah kaki selepas terlibat kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Seletar (SLE) pada Ahad malam.

Menerusi rakaman kamera yang dipasang di dalam kereta, menunjukkan sebuah motosikal yang dipandu mangsa di belakang kereta putih di lorong tengah, pada kira-kira pukul 9.50 malam.

Kereta putih itu kemudiannya secara tiba-tiba memperlahankan kenderaan bagi mengelak sebuah kereta lain di hadapan, menyebabkan motosikal bertembung dengan kereta putih.

Sebuah bas di lorong paling kiri hampir cuba mengelak daripada melanggar penunggang motosikal berkenaan.

Jeritan penunggang motosikal kerana kesakitan dapat didengar menerusi video tersebut, dan Ng memberhentikan kenderaannya.

Rakaman itu disumbangkan oleh perunding teknologi maklumat (IT), Alex Ng kepada laman web Stomp.

"Saya dengar bunyi pelanggaran tetapi saya tidak dapat melihat penunggang motosikal itu," kata Ng.

"Nasib baik saya memandu di belakang bas di lorong tepi atau saya mungkin juga akan melanggar dia."

Bercakap kepada The Straits Times pada Isnin, polis berkata, mereka menerima panggilan berhubung kemalangan pada pukul 9.56 malam Ahad.

Kejadian berlaku di SLE menghala ke Lebuhraya Bukit Timah (BKE), sebelum susur keluar Mandai.

Penunggang motosikal yang dalam keadaan sedar dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat.

Difahamkan, mangsa mengalami patah kaki.

Polis sedang menyiasat insiden berkenaan. – The Straits Times/Asia News Network

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain