suria

Trump Anggap Tindakan Kim Jong-un Sangat Teruk

WEST PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengkritik pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan berkata: "tindakannya sangat, sangat teruk".

Kenyataan ringkas Trump itu disampaikan kepada wartawan sebelum berlepas ke pusat peranginan Mar-a-Lago di Florida, bagi menghabiskan cuti hujung minggunya.

Presiden AS itu berkata, pegawai pentadbirannya akan mengadakan mesyuarat hujung minggu ini bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk mengenai Korea Utara.

Kenyataan Trump itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson menamatkan lawatan pertamanya ke Asia, termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.

Selain itu, Tillerson juga melawat Jepun dan Korea Selatan.

Sementara itu di PYONGYANG, Korea Utara menguji sebuah enjin roket baharu berkuasa tinggi di stesen pelancarnya di Tongchang-ri dengan pemimpin negara itu, Kim Jong-un memuji kejayaan ujian tersebut, lapor agensi berita rasmi KCNA semalam.

Enjin itu akan membantu Korea Utara mencapai keupayaan pelancaran roket bertaraf dunia, kata KCNA.

Menurutnya, ujian itu melibatkan enjin roket baharu untuk peluru berpandu jarak jauh.

KCNA melaporkan bahawa ujian itu dilakukan di Tapak Pelancaran Satelit Sohae, lokasi ujian roket jarak jauh Korea Utara .

“Jong-un menyifatkan kejayaan ujian ini peristiwa bersejarah dan mengisytiharkannya sebagai kelahiran baharu dalam industri roket Juche (buatan tempatan),” lapor KCNA.

Korea Utara pernah mengadakan lima ujian nuklear dan me­lancarkan peluru berpandu yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pakar-pakar dan pegawai kerajaan percaya bahawa Pyongyang sedang membangunkan peluru berpandu nuklear yang berupaya sampai ke Amerika Syarikat.

Jong-un juga pernah berkata bahawa Korea Utara kini semakin hampir untuk melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua. - Reuters


Trump, Jong-un

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain