suria

Lelaki Cuba Rampas Senjata Askar Ditembak Mati

PASUKAN kecemasan dikerah ke Lapangan Terbang Orly Paris susulan insiden tembakan pada 18 Mac 2017. - Ihsan Twitter.

PARIS: Seorang lelaki ditembak mati di sebuah lapangan terbang di Perancis selepas cuba merampas senjata milik seorang tentera.

Menurut laporan stesen televisyen tempatan, BFMTV, kejadian itu berlaku di terminal Lapangan Terbang Orly Paris ketika kemudahan itu dipenuhi ramai penumpang yang menunggu penerbangan masing-masing.

Polis telah mengarahkan semua orang mengosongkan lapangan terbang itu ketika operasi pemeriksaan dilakukan sama ada suspek mempunyai rakan subahat atau meletakkan bom.

Menurut pihak berkuasa Perancis, lelaki berkenaan ditembak mati ketika melarikan diri ke dalam sebuah kedai di terminal lapangan terbang tersebut.

Identiti suspek masih belum diketahui dan pihak berkuasa negara itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada insiden terbabit mempunyai kaitan dengan insiden keganasan.

Tiada sebarang bahan letupan ditemukan pada mayat suspek dan tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.


Paris, Tembakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain