suria

MP Britain Didesak Letak Jawatan Selepas Dilantik Pengarang Akhbar

AHLI Parlimen Britain, George Osborne didesak supaya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat selepas beliau mengambil satu lagi jawatan sebagai pengarang akhbar London Evening Standard.

Portal Mirror melaporkan bahawa bekas canselor itu menerima bayaran dianggarkan £250,000 (RM1.38 juta) setahun mengendalikan akhbar percuma terbesar di ibu negara itu.

Pada masa sama, beliau merupakan Ahli Parlimen Tatton di Cheshire.

Pemimpin parti Buruh, Jeremy Corbyn berkata: "Ia merupakan satu penghinaan terhadap kebebasan media."

Desakan supaya Osborne meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen selepas pengumuman mengejut beliau memegang jawatan di syarikat akhbar itu sedangkan tidak berpengalaman dalam kewartawanan.

Osborne sudah pun menjadi ahli Parlimen yang mendapat bayaran tertinggi dengan £650,000 (RM3.58 juta) setahun dengan hanya bekerja sehari seminggu untuk firma pelaburan BlackRock.

Beliau juga dibayar £800,000 (RM4.4 juta) sejak enam bulan lalu di atas khidmat membuat ucapan untuk bank dan eksekutif.

Selain itu, Osborne menerima £120,000 (RM660,068) setahun di atas peranannya dalam penyelidikan di sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS).

Osborne didesak untuk mengisytiharkan gaji penuhnya dari London Evening Standard dalam beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, berapa banyak bayaran yang diterima Osborne, jumlah itu melangkaui daripada £75,000 (RM412,542) setahun yang diterimanya sebagai Ahli Parlimen parti Konservatif. - Mirror.co.uk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain