suria

Jet Pejuang Tentera Syria Terhempas Dekat Sempadan Turki

Jet pejuang tentera Syria jenis MIG-23 dipercayai terhempas dekat sempadan antara Syria dan Turki.

SEBUAH pesawat dipercayai jet pejuang tentera Syria terhempas dekat sempadan antara Syria dan Turki.

Sumber tentera Syria berkata pangkalan udara terputus hubungan dengan jet pejuang tersebut dekat kawasan sempadan.

Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim berkata operasi mencari dan menyelamat juruterbang pesawat itu sedang dilakukan.

Kumpulan pemberontak, Ahrar al-Sham berkata pesawat itu telah ditembak jatuh.

Kumpulan itu turut memuat naik video pesawat tersebut yang dikatakan sebagai sasaran ke dalam laman Twitter mereka.

Jurucakap kumpulan itu, Ahmed Karaali dipetik agensi berita Anadoulu sebagai berkata jet pejuang kerajaan itu telah mengebom wilayah Idlib di utara Syria ketika ia ditembak jatuh kumpulan pemberontak tersebut.

Menurut Binali, pesawat jenis MIG-23 itu terhempas dekat bandar Samandag dalam wilayah Hatay.

Gabenor Hatay, Erdal Ata memberitahu Anadolu bahawa pasukan mencari dan menyelamat sudah tiba di kawasan nahas dan memberitahu ruang kokpit pesawat kosong.

Namun Binali berkata punca nahas masih belum dikenal pasti.

"Ia mungkin disebabkan cuaca buruk," katanya.

jet pejuang Syria, terhempas

Artikel Lain