suria

Lima Pengganas Abu Sayyaf Dibunuh Tentera Filipina

Gambar fail pasukan tentera Filipina. Foto AFP

ZAMBOANGA CITY: Sekurang-kurangnya lima pengganas terbunuh selepas tentera Filipina melancarkan serangan terhadap kumpulan militan Abu Sayyaf yang dipercayai memenggal kepala tahanan warga Jerman, lapor agensi berita China, Xinhua memetik pegawai tentera sebagai berkata pada Khamis.

Pegawai itu berkata, 11 anggota tentera Filipina turut cedera dalam pertempuran yang berlaku pada lewat petang Rabu di hutan dekat Bandar Indanan, Wilayah Sulu di selatan negara itu.

Komander Mindanao Barat, Mejar Jeneral Carlito Galves Jr berkata, pasukan tentera dari Scout Ranger Batalion ke-2 (SRB) melancarkan serangan terhadap pengganas Abu Sayyaf di hutan Bud (bukit) Taran.

Laporan perisikan menunjukkan Bukit Bud Taran yang berdekatan kampung Buanza, di lokasi berlakunya kumpulan Abu Sayyaf memenggal kepala warga Jerman berusia 70 tahun, Juergen Kantner pada Ahad lalu.

Kantner diculik pada November tahun lalu dan Abu Sayyaf menuntut wang tebusan 30 juta peso (RM2.65 juta) bagi membebaskan tahanan itu.

Kumpulan penculik menetapkan pukul 3 petang Ahad waktu akhir bagi pembayaran.

Bagaimanapun, tahanan dibunuh selepas tuntutan tidak dipenuhi.

Dalam pertempuran selama 10 minit itu, lima pengganas terbunuh.

Galvex bagaimanapun berkata, tidak dipastikan berapa ramai anggota militan yang cedera. - Bernama

Artikel Lain