suria

Ubat Kutu Berisiko Jadi Punca Anak Kelakuan Buruk

BAHAN kimia yang digunakan dalam rawatan kutu di kepala berisiko menyebabkan perangai kanak-kanak menjadi bermasalah, lapor satu kajian di Perancis.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Rennes itu, wanita mengandung yang terdedah kepada bahan pyrethroids, sejenius kimia sintetik , berisiko tinggi untuk memiliki kanak-kanak yang menghadapi masalah sosial sebelum usia enam tahun.

Bahan pyrethoids kebiasaannya digunakan dalam bidang pertanian untuk menghapuskan hama, tetapi juga dipakai dalam rawatan kutu dan kawalan pembiakan nyamuk.

Kaedah itu dibangunkan oleh saintis Britain pada 1960-an sebagai alternatif selamat untuk meracun serangga perosak di kawasan pertanian.

Namun menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal sains, Occupational & Environmental Medicine, bahan kimia itu berfungsi untuk merosakkan saraf serangga dan saintis percaya perkembangan otak kanak-kanak yang menggunakan bahan sama juga boleh terjejas.

Kajian berkenaan melibatkan 3,421 wanita mengandung antara usia kandungan enam dan 19 minggu dan setiap mereka diberikan rawatan kutu pada lima tahap berbeza.

Enam tahun kemudian, kajian diteruskan dan penyelidik bertemu semula dengan anak kepada 287 wanita yang terlibat dalam kajian awal.

Hasilnya, saintis mendapati, wanita yang terdedah kepada bahan kimia itu dengan dos yang lebih tinggi, memiliki anak yang bermasalah dalam soal sosial termasuk sering ketakutan dan tidak suka bergaul.

Ujian air kencing terhadap kanak-kanak itu juga mendapati mereka yang terdedah dengan bahan kimia terbabit mempamerkan kelakuan yang pelik termasuk bertindak agresif dan membuli.

Bagaimanapun penyelidik memberitahu bahawa kajian mereka tidak membuat kesimpulan muktamad bahawa bahan kimia berkenaan sebagai punca sepenuhnya kanak-kanak berkelakuan buruk.

Universiti Rennes, Ubat Kutu

Artikel Lain