suria

Banduan Ikat Tali Perkahwinan Di Penjara

KATHMANDU: Sepasang lelaki dan wanita yang dipenjarakan atas kesalahan membunuh pasangan masing-masing, mengikat tali perkahwinan di sebuah penjara di Nepal baru-baru ini.

Dili Koirala, 33, menjalani hukuman penjara selama 20 tahun kerana membunuh isterinya manakala pasangan hidup baharunya, Mimkosha Bista masih mempunyai baki empat tahun penjara kerana menyebabkan kematian suaminya.

Kedua-dua pasangan itu tidak pernah bertemu sebelum disatukan, tetapi mereka berkahwin atas usaha ibu Koirala yang juga dipenjarakan kerana bersubahat dengan anak lelakinya dalam pembunuhan terbabit.

Mereka berkahwin di Penjara Daerah Kalikot di barat Nepal.

Selepas perkahwinan itu berlangsung, Bista, 30, memberitahu akhbar Republica, dia membunuh suaminya dan Koirala membunuh isterinya.

"Ibu Koirala meminati saya dan itu sebabnya saya bersetuju untuk berkahwin," katanya.

Sementara itu, pegawai penjara, Sanjay Mahato memberitahu AFP, pasangan suami isteri itu tidak dibenarkan tinggal bersama walaupun mempunyai tali perhubungan yang sah.

"Kami hanya membenarkan mereka untuk bertemu dua kali sebulan," katanya.

Peguam yang menghadiri majlis perkahwinan itu, Danam Raj Bam berkata, pasangan itu memilih untuk berkahwin kerana mereka merasakan tiada siapa sanggup menjadikan mereka sebagai pasangan hidup.

Penjara Daerah Kalikot merupakan penjara kecil di barat Nepal yang hanya mempunyai 53 banduan iaitu 50 banduan lelaki dan tiga banduan wanita.

Banduan Nepal Berkahwin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain