suria

Beckham Jadi Mangsa Ugutan Penggodam

DAVID BECKHAM dilapor menjadi mangsa ugutan sekumpulan penggodam yang menuntut wang sebanyak 1 juta pound (RM5.5 juta) susulan pendedahan beberapa emel peribadi bekas bintang England itu.

Bekas pemain berusia 41 itu didakwa menghantar emel kepada pengurus peribadinya, Simon Oliveria dengan mesej berbaur penghinaan terhadap penyanyi kelahiran Wales, Katherine Jenkins kerana dia tidak berpuas hati ekoran gagal mendapat anugerah diraja Britain (OBE).

Selain itu, Beckham mengutuk barisan jawatankuasa OBE yang gagal membuat penilaian dengan baik terhadap sumbangannya kepada negara.

Malah satu lagi emel menunjukkan Beckham enggan memberikan wang sebanyak AS$1 juta (RM4.4 juta) pada satu majlis amal Unicef dengan mendakwa wang tersebut miliknya.

Emel berkenaan didedahkan kepada umum selepas kumpulan penggodam yang tidak dikenali itu menghantar emel kepada laman web Football Leaks dan beberapa portal sukan lain ekoran keengganan firma yang dikendalikan oleh pengurus Beckham untuk membayar wang tuntutan tersebut.

Penggodam yang dipercayai menggunakan server Rusia, menceroboh maklumat tersebut yang disimpan oleh agensi sukan yang dikenalikan oleh Oliveria.

Kumpulan penjenayah siber itu menuntut wang sebanyak RM5.5 juta atau akan mendedahkan maklumat sulit yang mereka perolehi.

Ekoran ugutan tersebut, Oliveria membuat laporan polis dan siasatan berhubung kes tersebut masih lagi berjalan.

Satu sumber memaklumkan, penggodam tidak menjadikan Beckham sebagai mangsa sepernuhnya tetapi bekas pemain itu terperangkap dalam kes terbabit.

Individu yang mengugut Beckham, menggunakan nama Artem Lovuzov dan mendakwa maklumat yang dia perolehi 'lebih besar' dari yang dijangkakan.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini susulan kes ugutan tersebut.

David Beckham

Artikel Sebelum

'Saya Tidak Menyesal Bunuh Ibu'

Artikel Berikut

16 Maut Nahas Bas Di Honduras

Artikel Lain