suria

Tokoh Pendidikan Islam Selatan Thai Meninggal Dunia

BANGKOK: Tokoh pendidikan Islam selatan Thailand, Syafiin Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai 'Sapae-ing Basor' meninggal dunia di Malaysia pada usia 81 tahun.

Menurut media-media tempatan, kematian beliau pada 10 Januari lepas itu disahkan oleh anggota keluarganya yang tinggal di selatan Thailand.

Syafiin diiktiraf penduduk tempatan atas sumbangannya dalam memartabatkan pendidikan Islam di selatan Thailand menerusi sekolah pondok kendaliannya, Thamwittaya Mulniti di Yala.

Dianggarkan lebih daripada 50,000 pelajar pendidikan Islam di selatan Thailand telah lulus daripada sekolah terbabit sepanjang 30 tahun kendalian lulusan Universiti Madinah itu.

Penduduk tempatan dijadualkan mengadakan solat jenazah ghaib terhadap Allahyarham di Sekolah Thamwittaya Mulniti itu pada 9 pagi Isnin, kata media tempatan.

Selain dikenali sebagai tokoh pendidikan Islam selatan Thai, Allahyarham juga dituduh oleh kerajaan Thai sebagai seorang daripada pemimpin utama kumpulan Barisan Revolusi Nasional-Coordinate (BRN). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain