suria

Juruterbang Positif Dadah Punca Nahas Pesawat

JAKARTA: Agensi Narkotik Kebangsaan Indonesia mendakwa, sebahagian besar kemalangan pesawat penerbangan awam di negara itu membabitkan juruterbang positif dadah.

Ketuanya, Budi Waseso, berkata ia termasuk nahas membabitkan pesawat Lion Air yang menjunam ke dalam laut ketika cuba mendarat di Bali, empat tahun lalu.

Dia berkata demikian ketika merasmikan majlis pelantikan pengawal keselamatan kampung sebagai sukarelawan antidadah di Bali, pada Khamis lalu.

Dakwaan itu adalah tamparan kepada imej industri penerbangan tempatan, selepas penyebaran video menunjukkan seorang juruterbang yang mabuk di dalam kokpit pesawat penumpang Citilink.

Baru-baru ini, media turut melaporkan dua juruterbang pesawat Susi Air, yang dimiliki Menteri Perikanan, disahkan positif dadah.

Waseso berkata, hampir semua kemalangan udara di Indonesia mendapati juruterbangnya positif dadah.

Terdahulu, pada majlis yang turut dihadiri Gabenor Bali, Waseso berkata, dalam kemalangan pada 2013, juruterbang Lion Air dikatakan berhalusinasi apabila melihat laut seperti landasan kapal terbang. Bagaimanapun, dakwaan Waseso itu bercanggah dengan kenyataan rasmi Kementerian Pengangkutan.

Dalam kenyataan selepas kejadian, kementerian mengumumkan ujian mendapati juruterbang tidak dipengaruhi dadah dan semua 108 penumpang selamat. Malah, laporan akhir insiden mendapati ia akibat hujan lebat hingga menjejaskan sistem komunikasi antara juruterbang dan menara kawalan.

Lion Air, Kementerian Pengangkutan dan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, enggan memberi komen mengenai perkara itu. – AP

Budi Waseso

Artikel Lain