suria

'Saya Mahukan Isteri Saya Semula, Bukan Wang Pampasan'

Saleh tidak dapat menahan kesedihan ketika menceritakan detik-detik pilu kehilangan isteri ekoran kesilapan doktor. - Ihsan Saudi Gazette

JEDDAH: Seperti kebanyakan wanita, Anwar, seorang wanita Arab Saudi, mempunyai impian untuk memiliki anak bagi mengisi kegembiraan hidupnya dan merasai pengalaman menyusu ketika waktu malam.

Namun impiannya berkecai. Wanita itu meninggal dunia akibat kesilapan perubatan yang menyebabkan hati suaminya hancur luluh dengan pemergian insan paling disayanginya.

"Saya mahu isteri saya semula. Bukan wang pampasan," kata Saleh Al-Qabbeh sambil menitiskan air mata.

Saleh berkata, doktor yang merawat isterinya kini telah ditahan pihak berkuasa dan dia mahu pakar perubatan itu bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian pasangannya.

"Saya tidak menunggu pampasan atas kematian mengejut isteri saya.

"Saya mahu keadilan diberikan ke atas doktor yang menukar hidup saya menjadi gelap disebabkan kematian insan yang paling dekat dengan hati saya," katanya.

Dalam kesedihan, Saleh menceritakan semula tragedi yang melanda hidupnya.

Jelasnya, dia dan isteri telah berkahwin selama 13 tahun dan tidak dikurniakan anak.

Akhirnya, mereka bersetuju untuk mencuba kaedah bayi tabung uji dan berkunjung ke sebuah klinik di Jeddah yang terkenal dengan rawatan penyuburan.

"Pakar perubatan di klinik itu memberi suntikan kepada isteri saya untuk mengaktifkan sistem penyuburan tanpa melakukan sebarang ujian kesihatan terlebih dahulu.

"Disebabkan suntikan tersebut, keadaan kesihatan isteri saya semakin teruk tetapi doktor tidak melakukan sebarang usaha untuk membetulkan keadaan.

"Akhinya pada satu hari, isteri saya koma secara tiba-tiba dan saya membawanya ke hospital kerajaan di Mekah untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Namun di sebalik usaha pihak hospital, Anwar  meninggal dunia selepas 10 hari bergantung kepada alat sokongan hidup, sekali gus impian mangsa dan suami untuk memiliki anak hancur berkecai.

Kes itu telah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan yang kemudiannya menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian tersebut.

Hasil siasatan mendapati doktor yang dirahsiakan identitinya, bersalah kerana tidak mengambil serius atau bertindak pantas mengekang keadaan mangsa menjadi lebih buruk.

Pihak berkuasa melarang doktor untuk keluar dari Arab Saudi tetapi masih dibenarkan bertugas seperti biasa, sekali gus mengundang rasa tidak puas hati kepada Saleh yang berharap tindakan lebih tegas diambil.

Kematian

Artikel Berikut