suria

Ketua PBB Baharu Mahu Laksana Kaedah Kekang Peperangan

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu, Antonio Guterres mahu kaedah baharu diwujudkan untuk mengekang peperangan dan mempromosikan keamanan berbanding memberi tumpuan untuk bertindak terhadap konflik yang berlaku di serata dunia.

Dalam ucapan pertama kepada Majlis Keselamatan PBB sejak mengambil-alih jawatan itu pada awal Januari, Guterres menyuarakan azam untuk merombak badan dunia itu dan meningkatkan usaha bagi menangai krisis antarabangsa termasuk konflik di Syria dan pertumpahan darah di Sudan Selatan.

"Orang awam menerima kesan yang paling teruk apabila tercetusnya konflik. Kita memerlukan kaedah baharu.

"Saya juga kesal kerana banyak masa serta sumber digunakan untuk bertindak mengatasi krisis berbanding mengekang perkara itu daripada berlaku," katanya.

Bekas Perdana Menteri Portugal yang menggantikan Ban Ki-moon itu berkata, jalan penyelesaian secara diplomatik perlu diberi keutamaan dan menggesa PBB untuk menggunakan segala kaedah yang sedia ada bagi mencari menamatkan konflik secara aman.

Jelasnya, pengalaman lepas membuktikan kesukaran untuk meyakinkan negara berkuasa besar dan kuasa veto bahawa langkah pencegahan perlu diberi keutamaan.

"Terlalu banyak peluang untuk mengekang konflik terlepas begitu sahaja disebabkan negara anggota tidak percaya antara satu sama lain serta diselubungi kebimbangan tentang kedaulatan wilayah masing-masing.

"Hari ini, kita perlu menunjukkan semangat kepimpinan, kekuatan, kredibiliti dan kuasa PBB dengan menjadikan keamanan sebagai keutamaan," katanya.

Cabaran terbesar Gutteres adalah berdepan isu perpecahan dalam kalangan negara anggota Majlis Keselamatan PBB yang gagal mencapai kata sepakat untuk menamatkan konflik di Syria yang berlanjutan hampir enam tahun lalu.

Antonio Gutteres, PBB, Syria

Artikel Lain