suria

Kuota Haji Indonesia Bertambah

JAKARTA: Arab Saudi bersetuju memberi kuota haji tambahan kepada Indonesia dengan peningkatan sebanyak lebih 40,000 jemaah haji tahun 2017.

Presiden Joko Widodo dalam satu sidang media khas pada Rabu berkata, dengan itu, jumlah bakal jemaah haji Indonesia pada tahun ini ialah sebanyak 221,000 orang berbanding 168,800 tahun sebelumnya.

Katanya, keputusan memberi kuota tambahan itu disampaikan dalam satu perjumpaan khas antara wakil kerajaan Arab Saudi dengan Menteri Agama Indonesia pada minggu lepas.

"Kerajaan Arab Saudi telah bersetuju untuk mengembalikan kuota sebanyak 211,000 jemaah kepada Indonesia dan kemudiannya memberi kuota khas sebanyak 10,000 lagi tambahan jemaah untuk tahun ini," kata beliau seperti disiarkan secara langsung dalam berita televisyen tempatan.

Sejak 2013 kerajaan Arab Saudi memangkas hampir separuh kuota jemaah haji Indonesia atas alasan mengurangkan jemaah dari seluruh dunia ekoran kerja-kerja menaik taraf Masjidil Haram di Makkah.

Indonesia mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia.

Hampir 80 peratus daripada kira-kira 300 juta rakyatnya beragama Islam.

Joko berkata, kerajaan Indonesia sangat menghargai pemberian kuota haji tambahan itu.

Beliau juga berkata Raja Arab Saudi Salman bin Abdulaziz al-Saud dijadualkan mengunjungi Indonesia Mac depan. - BERNAMA

kuota haji, Indonesia

Artikel Sebelum

Pertemuan Hebat Jack Ma-Trump

Artikel Lain