suria

Pekerja Taman Hiburan Digantung Tugas, Didakwa Geletek Kanak-Kanak

Winter Wonderland di EventCity di Trafford, Manchester. Foto Manchester Evening News

SEORANG pekerja sebuah permainan di taman hiburan Winter Wonderland di Manchester digantung tugas selepas didakwa menggeletek sejumlah kanak-kanak secara keterlaluan.

Seorang wanita yang menyaksikan kejadian itu menceritakan bagaimana dia terkejut melihat kakitangan yang berpakaian seragam itu menggeletek setiap kanak-kanak yang mahu menaiki permainan di taman EventCity dekat Pusat Trafford di bandar itu.

Ibu berusia 36 tahun itu menegur lelaki berkenaan yang ketika itu sedang menggeletek anak lelakinya berusia lima tahun di bahagian pinggang.

Bercakap kepada Manchester Evening News, wanita itu berkata: "Ia sangat tidak selesa. Anda tidak boleh sewenang-wenangnya geletek anak-anak orang lain. Kenapa anda tergamak melakukannya? 

"Sebagai seorang ibu, anda terfikir yang terburuk sahaja tetapi mungkin sebab orang lain tidak boleh menerima keadaan sebegitu. Ia sesuatu yang sangat pelik," katanya.

"Saya tegur dia, saya fikir adalah pelik bagi dia menggeletek orang yang tidak dikenali. Saya menjelaskan bahawa tidak ok bagi orang lain menyentuh anak lelaki saya. Dia melakukan perkara yang sama kepada semua kanak-kanak."

Wanita itu kemudiannya membuat aduan kepada penganjur, KingPin.

Penganjur itu kemudiannya memberi maklum balas menerusi emel: "Tindakan segera diambil dan kami telah bercakap dengan pemilik permainan itu berhubung isu membabitkan kakitangannya. Pekerja terbabit disoal dan kini dihentikan tugas serta tidak akan mengendalikan mana-mana permainan." 

Winter Wonderland di EventCity yang berlangsung sehingga 1 Januari lalu mencatatkan jualan kira-kira 100,000 tiket. - Mirror

Artikel Sebelum

Artikel Lain