suria

Kejutan, Kontroversi Gempar Dunia

Britain memutuskan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) menerusi kempen yang dikenali sebagai Brexit. Foto Bloomberg

DUNIA digemparkan dengan pelbagai kejutan, sensasi, kontroversi sehingga cetusan drama politik mahupun tragedi dan kekejaman yang menyayat hati.

Tirai 2016 bakal dilabuhkan bagi memberi laluan buat masyarakat dan negara-negara di seluruh dunia melangkah ke hadapan mencoret diari baharu.

Pun begitu, peristiwa dan momen penting, menggemparkan mahu pun mencatat sejarah pastinya tidak surut dalam ingatan seantero dunia.

Britain Keluar EU

Jun lalu, rakyat Britain memutuskan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) menerusi kempen yang dikenali sebagai Brexit (gabungan nama Britain dan Exit).

Berdasarkan keputusan dari 382 buah pusat pengumpulan undi, seramai 17.4 juta penduduk bersetuju agar Britain keluar daripada EU manakala 16.1 juta lagi memilih kekal dalam blok kesatuan tersebut.

Susulan keputusan itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan peletakan jawatan yang disandangnya selama enam tahun.

Jelas Cameron, beliau bangga dapat menyumbang bakti kepada Britain tetapi menegaskan dirinya tidak lagi sesuai untuk ‘mengemudi’ negara itu yang kini sepakat mahu keluar dari EU.

Donald Trump. Foto Reuters

Donald Trump Presiden AS Ke-45

Dari ahli perniagaan yang begitu terkenal dengan ungkapan “You are fired!” (Anda dipecat!) menerusi rancangan realiti The Apprentice, Donald Trump kini diberi mandat sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45.

Kemenangan jutawan berusia 70 tahun itu dalam pilihan raya presiden November lalu sekali gus menyaksikan kekalahan calon Parti Demokrat, Hillary Clinton.

Sebanyak 304 daripada 538 pemilih badan perwakilan pemilih AS mengundi Trump manakala Hillary menerima 227 undi.

Sebelum ini, Trump dikecam kerana dikatakan tidak berpengalaman untuk menjadi calon Parti Republikan bagi merebut jawatan Presiden AS.

Jutawan selebriti itu juga pernah mencetuskan kontroversi dalam kempen pencalonannya apabila menggesa larangan terhadap orang Islam daripada memasuki AS.

Seorang lelaki menaiki motosikal melalui kawasan yang musnah akibat serangan di Aleppo.

Aleppo 'Neraka Dunia'

Kehidupan rakyat Syria di bandar ini digambarkan bagai 'neraka dunia' susulan serangan udara berterusan sejak enam tahun lalu hingga memusnahkan Aleppo bandar kedua terbesar yang juga pusat ekonomi negara.

Tentera Syria menyatakan ia sudah merampas semula keseluruhan Aleppo selepas kumpulan terakhir pemberontak dipindahkan dari bandar raya itu.

Kemenangan terbesar kepada Presiden Bashar al-Assad dalam perang hampir enam tahun itu, turut dikongsi bersama sekutunya, Russia dan Iran. 

Ramai penunjuk pera­saan berhimpun di beberapa negara bagi menentang pepera­ngan di Syria sambil mengecam masyarakat antarabangsa kerana gagal membantu orang awam di Aleppo.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan menga­dakan undian bagi meluluskan cadangan Perancis menghantar pemerhati bagi memantau pemindahan dan laporan mengenai perlindungan orang awam di Syria.

Sekumpulan Rohingya yang ditahan semasa mahu menyeberangi sungai ke Bangladesh. Foto AFP

Rohingya Mangsa Kekejaman

Krisis Rohingya yang menjadi perhatian dunia merupakan pencabulan keamanan yang tidak diingini Islam dengan pembunuhan kejam dan perbuatan tanpa perikemanusiaan.

Keganasan itu berlarutan dan tentera semakin berani melakukan selepas menerima kunjungan bekas Setia­usaha Agung PBB, Kofi Anan ke Rakhine.

Kaum lelaki Rohingya dibunuh dan ditembak oleh tentera Myanmar, manakala kanak-kanak disembelih dan kaum wanita dirogol serta diperlakukan secara ganas.

Begitu kejamnya tentera Myanmar terhadap etnik minoriti di negara ini, dengan rumah turut dibakar menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal, sehingga memaksa mereka melarikan diri dengan menyeberangi sungai ke Bangladesh.

PBB digesa supaya campur tangan bagi menghentikan krisis kemanusiaan di Myanmar, pada masa sama banyak pihak mengecam pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang juga penerima Anugerah Nobel Ke­amanan ke­rana gagal melindungi penduduk Rohingya daripada menjadi mang­sa kekejaman tentera.

Rodrigo Duterte. Foto Reuters

Kelantangan Rodrigo Duterte

Sejak mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina ke-16 pada Jun lalu, Rodrigo Duterte tidak henti mencetuskan pelbagai isu sensasi dan kontroversi.

Kelantangan dan tidak keterlaluan untuk menyebut keceluparan Duterte membuatkan pemimpin negara itu begitu pantas dikenali dunia.

Beliau berani dalam mempertahankan kempen memerangi dadah yang dilaksanakannya di Filipina daripada dikritik beberapa pemimpin dunia.

Antaranya apabila beliau mahu membunuh penjawat awam yang terlibat dalam sindiket perdagangan dadah jika mereka mengelak untuk ditahan pihak berkuasa.

Duterte turut mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mengancam untuk mencampak keluar pegawai kerajaan yang terlibat dengan jenayah rasuah dari helikopter.

Paling panas apabila Duterte berani melemparkan kata-kata ‘pergi jahanam’ kepada Presiden AS, Barack Obama selepas AS enggan menjual senjata kepada Filipina.

Pasukan mencari dan menyelamat membawa keluar mayat mangsa gempa Aceh. Foto AP

Bencana Aceh Berulang

Dunia dikejutkan satu bencana yang cukup membinasakan 12 tahun lalu menerusi gegaran sekuat sehingga 9.2 skala Richter yang berpusat di barat Sumatera.

Gelombang raksasa setinggi 30 meter itu sekaligus mengorbankan ratusan ribu jiwa di Aceh dan meranapkan segala bangunan di kawasan dalam lingkungan berpuluh kilometer.

Baru-baru ini, Aceh sekali lagi digegarkan dengan gempa bumi yang membinasakan kawasan-kawasan yang terjejas, dengan lebih 90 orang maut di daerah Pidie Jaya.

Berpuluh-puluh mangsa juga dilaporkan cedera dan hilang selepas gempa bumi sekuat 6.4 pada skala Richter yang berlaku di Pidie Jaya.

Artikel Lain