suria

Korean Air Diselar Gagal Kawal Penumpang

SEOUL: Syarikat penerbangan utama Korea terus dikritik kerana didakwa gagal melatih kru kabinnya menghadapi situasi tegang membabitkan penumpang dalam insiden yang melibatkan bintang pop antarabangsa pada Selasa lalu.

Pada hari kajadian, penyanyi dan penulis lagu Richard Marx beberapa kali membuat posting di laman Facebook rasminya mengenai kejadian 'huru-hara dan membahayakan' yang berlaku selama empat jam ketika menaiki penerbangan dari Hanoi, Vietnam ke Incheon.

Foto yang dimuat naik Marx menunjukkan seorang lelaki menarik rambut kru kabin wanita hingga berlaku perbalahan fizikal membabitkan anak kapal dan penumpang lain termasuk Marx.

"Saya dan isteri selamat tetapi seorang anak kapal dan dua penumpang cedera. Kru wanita kelihatan terpinga-pinga dan tidak dilatih untuk berhadapan dengan situasi berkenaan.

"Korean Air perlu bertanggungjawab kerana tidak tahu bagaimana untuk menangani keadaan seperti ini tanpa perlu campur tangan penumpang," tulis Marx menerusi status berkenaan.


Gambar yang dimuat naik di laman Facebook Richard Marx.

Penumpang yang menimbulkan kekecohan itu diserahkan kepada pihak polis apabila penerbangan tersebut mendarat di Lapangan Terbang Incheon pada kira-kira 6.30 petang.

Oleh kerana lelaki berkenaan dalam keadaan mabuk, dia tidak ditahan.

Marx kemudian meneruskan perjalanan ke Los Angeles.

Menurut Korean Air, kejadian itu berlaku selepas penumpang lelaki berusia 34 tahun itu minum dua setengah gelas wiski.

Akibat mabuk dia mula mencetuskan perbalahan dengan penumpang di sebelahnya dan situasi bertukar ganas hingga menyebabkan anak kapal mengeluarkan amaran dan akhirnya terpaksa mengikat lelaki itu menggunakan tali dengan bantuan penumpang lain termasuk Marx.

Lelaki itu dikatakan adalah anak kepada seorang ahli perniagaan yang menjalankan syarikat bersaiz sederhana. -The Korea Herald/News Network Asia
Korean Air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain