suria

Syria Gantung Proses Pemindahan Penduduk Aleppo

Ribuan penduduk Aleppo terperangkap apabila Syria mengeluarkan arahan menggantung proses pemindahan mereka.

ALEPPO: Kerajaan Syria menggantung proses pemindahan penduduk dan pejuang dari medan pertempuran terakhir pemberontak di sini, mengakibatkan ribuan terperangkap.

Susulan itu, pelbagai pihak menggesa supaya proses itu diteruskan, malahan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang menganggap Aleppo sebagai 'medan neraka' turut memberi amaran kepada kerajaan negara itu.

"PBB mendesak agar semua pihak mengambil langkah sewajarnya bagi membolehkan proses pemindahan penduduk dilakukan dengan selamat," katanya di New York.

Selain itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan juga mahu semua pihak agar menghormati perjanjian Aleppo.

Ankara yang menyokong pemberontak menjadi orang tengah kepada kumpulan yang disokong Moscow menegaskan, ribuan orang awam masih menunggu untuk keluar dari bandar ini.

Sementara itu, Turki dan sumber tentera Syria berkata, pemindahan keluar penduduk sudah digantung namun ia bukannya dihentikan, manakala Moscow pula tetap menegaskan operasi pemindahan sudah lengkap apabila semua wanita dan kanak-kanak dikeluarkan dari bandar itu.

Wakil AFP berkata, konvoi yang terbabit dalam pemindahan sudah meninggalkan kawasan timur itu dan operasi digantung apabila mereka diarah untuk berpatah balik.

Operasi pemindahan orang awam dan pemberontak keluar dari timur Aleppo bermula kelmarin dan ia berterus sepanjang malam dengan ribuan meninggalkannya menerusi bas dan ambulans.

Namun keadaan berbeza pada pagi Jumaat apabila operasi digantung dengan kerajaan Syria menuduh pemberontak melanggar syarat perjanjian gencatan.

Siaran televisyen tempatan Syria melaporkan, pemberontak cuba menyeludup keluar bersama senjata dan tebusan dari Aleppo.

Sementara itu Palang Merah yang bertindak menyelaras operasi pemindahan mengesahkan operasi berkenaan ditangguh. - AFP


Aleppo, Syria, PBB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain