suria

Densus 88 Geledah Rumah Tiga Suspek Pengganas

SKUAD anti pengganas polis Indonesia, Densus 88 merampas pelbagai barangan sebagai bukti pembabitan kegiatan keganasan ketika menggeledah rumah tiga suspek di Surakarta dan Klaten di Jawa Tengah.

Operasi pada Khamis dan Jumaat itu melibatkan kediaman suspek pengganas yang dikenali sebagai Sunarto, 26; Imam Syafii, 33 dan Sumarno, 44.

Mereka disyaki terbabit dalam serangan molotov cocktail di sebuah pasar raya mini, Alfamart di Serengan, Surakarta dan Candi Resto di Solo Baru, masing-masing pada akhir November dan awal Disember baru-baru ini.

Pegawai Densus 88 menahan tiga suspek pengganas itu pada Rabu sebelum ke kediaman Sunarto dan Syafii di Banyuanyar, Surakarta dan Sumarno di Pedan, Klaten.

Antara yang dirampas dalam operasi kira-kira sejam di rumah Syafii pada kira-kira 8.30 pagi itu adalah dua topeng, beberapa buku, cakera kompak dan dokumen.

Syafii disyaki terlibat dalam serangan di Alfamart bersama Khafid Fathoni, 22, penduduk Ngawi, Jawa Timur yang telah ditahan pada 11 Disember lalu.

Keduanya didakwa terlibat dalam kegiatan penganas yang mempunyai jaringan dengan Nur Solihin, pemimpin kumpulan militan yang telah ditahan kerana serangan bom di Bekasi, Jawa Barat.

Polis seterusnya menggeledah kediaman Sunarto yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah Syafii pada kira-kira pukul 9.30 pagi. 

Ketika operasi itu, Densus 88 merampas beberapa cakera dan motosikal yang dipercayai digunakan Sunarto bersama Khafid dalam serangan di Candi Resto.

Bagaimanapun, tindakan pasukan keselamatan itu menimbulkan rasa tidak puas hati ahli keluarga suspek terlibat kerana operasi itu didakwa dilakukan tanpa waran.

Sebelum itu, pada Khamis pihak polis telah menggeledah rumah Sumarno dan isterinya, Sri Mulyani mendakwa tidak tahu suaminya telah ditahan.

"Kami hanya tahu mengenai penahanan Sumarno apabila diberitahu wartawan," katanya pada Jumaat. - Jakarta Post

Sumarno, Densus 88

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain