suria

Bayi Diculik Selepas Si Ibu Dipujuk Cuba Pakaian Baharu

BEIJING: Polis menyelamatkan seorang bayi baru lahir yang diculik di selatan China ketika ibunya sedang sibuk mencuba pakaian musim sejuk.

Bayi lelaki itu yang berusia kira-kira satu bulan, telah diculik pada petang Ahad ketika ibunya sedang mencuba sehelai seluar di sebuah kedai di Nanan, wilayah Fujian, lapor laman web berita yang bergabung dengan Quanzhou Evening News.

Ibunya, dengan nama keluarga Wang, telah keluar membeli-belah bersama anak perempuannya, bayi lelakinya yang baharu lahir itu dan seorang lagi kawan baharu yang diperkenalkan oleh bidannya.


Rakannya itu membawa lari bayi itu selepas memujuk Wang untuk mencuba sehelai seluar hitam, dan segera menyerahkan bayi lelaki itu kepada seorang lelaki yang beredar dari situ dengan motosikal, menurut laporan.

Bayi itu akhirnya diselamatkan oleh polis tempatan di bandar Nanping, kira-kira tujuh jam kemudian, selepas mereka menahan seorang wanita pertengahan umur dan dua orang lelaki.

Wang memberitahu pemberita bahawa rakannya itu pernah menasihatkan beliau untuk menjual bayi yang baharu lahir itu kepada rakan penduduk kampung, tetapi beliau menolak cadangan tersebut.


Wang, berasal Guizhou, mempunyai enam anak, kesemuanya perempuan.

Polis sedang menyiasat kes penculikan itu. - South China Morning Post
culik bayi, bidan

Artikel Berikut

Artikel Lain