suria

13,730 Pekerja Di Singapura Diberhentikan, Tertinggi Sejak 2009

SINGAPURA: Seramai 13,730 pekerja diberhentikan di Singapura dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016, angka tertinggi sejak 2009, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam 'Laporan Pasaran Buruh bagi Suku Ketiga 2016'.

MOM berkata 4,220 pekerja diberhentikan pada suku ketiga 2016, lebih rendah berbanding 4,800 pada suku sebelumnya, namun lebih tinggi berbanding tahun lepas seramai 3,460 pekerja.

Dalam tempoh itu jumlah yang diberhentikan susut dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan namun meningkat dalam industri pembinaan, katanya.

Profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik lebih cenderung diberhentikan, kata laporan itu, yang menambah kumpulan ini menyumbang majoriti atau 73 peratus daripada kalangan yang diberhentikan dalam tempoh suku ketiga  2016.

MOM bagaimanapun berkata kadar kemasukan semula telah meningkat.

Berdasarkan rekod Kumpulan Wang Simpanan Pusat, 49 peratus daripada penduduk yang diberhentikan pada suku kedua 2016, ditawarkan semula bekerja  pada September 2016, meningkat berbanding Jun 2016 (45 peratus) selepas mengalami arah aliran menurun secara amnnya sejak Disember 2014 (59 peratus).

Bagi jawatan kosong, MOM berkata selepas merosot selama enam suku berturut-turut, jumlah pelarasan musim kekosongan jawatan meningkat sedikit kepada 50,800 pada September 2016 berbanding 49,400 pada Jun 2016 dan kekal rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas, seramai 56,500 orang.

Permohonan kerja terus melebihi kekosongan jawatan dalam kedua-dua suku  berturut-turut, kata kementerian itu.

Pengangguran dianggarkan seramai 66,600 penduduk, termasuk 58,500 warga Singapura, tidak bekerja pada September, lebih rendah berbanding Jun 2016 (Penduduk: 68,400; rakyat: 60,200).

Kementerian sumber Manusia turut mendedahkan bahawa kebanyakan pencari kerja mengambil masa yang lebih lama untuk mencari pekerjaan.

Kadar pengangguran jangka panjang dalam kalangan penduduk meningkat kepada 0.8 peratus pada September 2016 berbanding 0.6 peratus pada September 2015, kadar tertinggi bagi September sejak 2009 (0.9 peratus).

Pengangguran jangka panjang membentuk 30 peratus daripada penduduk yang menganggur, meningkat berbanding 23 peratus pada tahun kepas, dan angka teringgi yang direkodkan bagi tempoh September sejak 2002 (33 peratus).

Peningkatan kadar pengangguran jangka panjang telah merentas perlbagai peringkat umur dan kelulusan dengan peningkatan lebih besar dalam kalangan penduduk berusia 50 tahun ke atas (0.6 peratus kepada 1.0 peratus) dan mereka yang mempunyai diploma dan kelayakan profesional (0.4 peratus kepada 0.8 peratus), yang mencatat paras September tertinggi sejak 2009.

Mengenai pekerjaan, secara kumulatif dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016, jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 14,500, pertumbuhan paling rendah sejak 2009.

Ekoran kelembapan dalam aktiviti pembinaan swasta, sektor itu mencatatkan kehilangan 5,300 pekerja pada suku ketiga 2016.

Secara kumulatifnya industri itu menyaksikan kehilangan 3,200 pekerja dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016, berbanding peningkatan dalam tempoh yang sama tahun lepas (7,700).

Jumlah pekerja dalam sektor pembuatan susut buat suku kelapan berturut-turut pada suku ketiga 2016 (-3,600), menjadikan penurunan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016 kepada 8,900.

Prestasi pasaran tenaga kerja yang lembap dalam sektor ini dijangkakan berterusan dalam suku keempat 2016 ekoran firma pengilangan dijangkakan mengambil bilangan pekerja yang lebih kecil, terutama bagi pengangkutan dan kejuruteraan kejituan, kata kementerian itu.

Pengurangan dalam jumlah pekerja, peningkatan tahap pemberhentian dan penurunan jumlah pekerjaan kepada nisbah pengangguran, mencerminkan kedudukan ekonomi semasa yang lemah.

"Selain usaha untuk mentransformasi industri dan mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti untuk rakyat, rakan tiga pihak itu akan terus meningkatkan bantuan kepada pekerja yang terjejas akibat situasi ekonomi bagi mengisi peluang pekerjaan menerusi insisiatif 'SkillsFuture' dan Adapt  and  Grow' dalam peralihan ekonomi semasa," kata MOM.

Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain