suria

Gempa Bumi Hancurkan Harapan Bergelar Pengantin Baru

Yusra Fitriani. -fotoAFP
PIDIE JAYA: Tiada apa yang boleh diungkapkan menerusi kata-kata untuk menjelaskan bagaimana hancurnya hati Yusra Fitriani dengan tragedi gempa bumi di Acheh pada pagi Rabu lepas.

Yusra, 31, sepatutnya bergelar isteri pada Khamis lalu tetapi gempa sekuat 6.5 pada skala Richter itu telah menghancurkan harapannya apabila bakal suaminya, Suharnas, 33, terbunuh bersama lapan anggota rombongannya dalam runtuhan sebuah rumah kedai di kota Pidie Jaya di sini.

Ketika mengunjungi rumah Yusra di Dea Dayah Timu, Meureudu di sini, kesedihan Yusra dapat dirasai apabila pelamin yang menjadi singgahsana pasangan itu bersanding telah siap dihiasi mengikut adat masyarakat Aceh dan pasangan pengantin itu hanya menunggu untuk diraikan.

Yusra ketika ditemui hanya terbaring lemah dalam bilik pengantin dengan inai masih menghiasi jari tangan dan kakinya.

Beliau hanya mengangguk kepala sebagai isyarat bersetuju dengan nasihat supaya menghadapi ujian Allah dengan sabar kerana kehidupan harus diteruskan.

Menceritakan saat kejadian, ayahnya Mohamad Yunus berkata, mereka sekeluarga dikejutkan dengan gempa yang menggegarkan rumah tetapi kemudiannya bersyukur kerana semuanya dalam keadaan selamat dan rumah mereka tidak mengalami kerosakan.

Katanya setelah itu hatinya berasa bimbang dengan bakal menantu dan rombongan pengantin lelaki yang menginap di kota Pidie Jaya apabila mendengar berita berlaku runtuhan bangunan di kawasan tersebut.

"Saya kemudiannya pergi ke kawasan kota pada tengah hari dan mendapati rumah kedai dua tingkat tempat bakal menantu menjalankan perniagaannya telah runtuh, saya tahu dia dan keluarganya yang datang dari Padang, Sumatera menginap di situ," katanya.

Beliau kemudian menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa dan setelah mengeluarkan beberapa mayat daripada runtuhan bangunan, bakal menantunya disahkan maut bersama lapan anggota rombongannya.

Mohamad Yunus berkata, setelah itu beliau pulang dan memaklumkan berita sedih tersebut kepada anak dan keluarganya sebelum mereka bergegas ke hospital bagi membantu menguruskan jenazah bakal menantunya itu.

Katanya, Yusra terus menangis tetapi semangatnya masih kuat dan beliau sendiri mahu melihat jenazah malah turut melakukan solat jenazah dan menghantarnya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan pada malam itu juga.

Bagaimanapun, katanya, sejak pulang dari tanah perkuburan Yusra sudah tidak mahu makan, tidak bercakap dan menangis sehingga hari ini.

Mohamad Yunus berkata anak sulungnya itu baru 40 hari dilamar Suharnas dengan mas kahwin 13 mayam emas dan semua keluarga begitu gembira dengan lamaran tersebut kerana cuma Yusra yang belum berkahwin manakala dua adiknya telahpun mendirikan rumah tangga.

Yusra bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sekolah manakala Suharnas menjalankan perniagaan kain.

"Kita harus ikhlas dengan apa yang berlaku tetapi anak saya masih trauma, seluruh keluarga kami masih trauma dengan gempa. Pelamin ini juga akan dibuka sebentar lagi," kata Mohamad Yunus.

Yusra bagaimanapun melayani permintaan wartawan Bernama yang meminta fotonya dirakamkan dan Mohamad Yunus mengakui ia adalah respons pertama anaknya itu sejak menyepikan diri selepas pulang daripada pengebumian jenazah tunangnya itu.

Gempa bumi yang melanda Pidie Jaya itu mengorbankan lebih 100 orang dengan lebih 1,000 orang dilaporkan cedera dan ratusan bangunan termasuk rumah roboh dan mengalami kerosakan.
gempa bumi, Acheh, Pidie Jaya, Yusra

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain