suria

Gempa Kuat Gegarkan Kepulauan Solomon, Ratusan Rumah Terjejas

Gambar yang disediakan oleh World Vision Solomon Islands menunjukkan sebuah rumah di Kirakira dekat Kepulauan Solomon mengalami kerosakan teruk ekoran gempa kuat berukuran 7.7 skala Richter. - AP

WELLINGTON: Ratusan rumah penduduk di kawasan terpencil di Kepulauan Solomon mengalami kerosakan atau musnah akibat gegaran gempa kuat berukuran 7.7 skala Richter, awal pagi tadi.

Setakat ini tiada lagi laporan mengenai kemalangan jiwa dengan tsunami kecil dilaporkan berlaku di kepulauan itu serta beberapa pulau Pasifik lain.

Jurucakap pertubuhan bantuan kemanusiaan World Vision's Pacific Timor-Leste, Suzy Sainovski yang berada di ibu negara Honiara, berkata, terdapat kesukaran untuk mendapatkan gambaran sebenar kesan gempa disebabkan penduduk tinggal terpencil dengan sesetengah tempat tiada hubungan komunikasi.

"Ada beberapa laporan awal menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 3,000 penduduk terjejas.

"Sesetengahnya terdiri kediaman tradisional iaitu rumah bajang yang diperbuat menggunakan bahan pertanian," katanya. 

Gempa berlaku berhampiran Pulau Makira. Sainovski berkata, hospital, gereja dan beberapa bangunan termasuk pejabat World Vision di bandar Kirakira di pulau terbabit, dilaporkan mengalami kerosakan. 

Micha Maghe, penyelaras projek kesihatan dan sanitasi World Vision di Kirakira berkata gempa berkenaan amat menggerunkan.

"Apabila saya berlari keluar, saya dengar kanak-kanak menangis, penduduk menjerit.

"Kami semua berkumpul di sebuah sekolah dan saya lihat penduduk bergegas mencari tanah tinggi. Mereka dalam keadaan panik dan ketakutan," katanya. - AFP

Gempa Bumi, Kepulauan Solomon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain