suria

Heret Tong Gas Terbakar Demi Jiran

BEIJING: Seorang lelaki berusia 63 tahun sanggup membahayakan diri sendiri untuk mengheret tong gas yang sedang dijilat api semata-mata mahu menyelamatkan jiran-jirannya.

Menurut laporan rangkaian televisyen CCTV, lelaki yang hanya dikenali sebagai Cai itu berbuat demikian bagi mengelakkan berlaku letupan gas di kawasan penempatan di Wuxi dekat wilayah Jiangsu.

Rakaman insiden itu turut tersebar dalam Internet dan disiarkan dalam banyak portal berita.

Dalam video itu, Cai pada awalnya dilihat menarik keluar tong gas yang sedang terbakar sambil diperhatikan oleh beberapa jirannya.

Kemudian dia mengunakan sebatang kayu sebagai pencangkuk untuk mengheret tong gas berkenaan ke kolam berhampiran untuk memadamkan kebakaran.

Berdasarkan laporan portal thepaper.cn, kejadian berkenaan bermula apabila dapur jirannya yang terletak bertentangan dengan rumah Cai, terbakar secara tiba-tibar dan api menyambar tong gas itu

Ketika itu, Cai baru tiba di rumah selepas membeli-belah kira-kira pukul 11 pagi apabila dia menyedari asap tebal di rumah jirannya.

"Saya sedang memasak tetapi berlaku letupan kecil kerana kebocoran gas.

"Api marak dengan kuat dan saya tidak sempat menutup gas tersebut," kata jiran Cai yang enggan dikenali.

Sementara itu Cai berkata, dia berbuat demikian kerana mementingkan nyawa penduduk lain.

"Masa itu saya berfikir untuk mencari tempat terbuka sekiranya tong itu meletup dan saya terus mengheretnya secara bersendirian.

"Saya tidak mempunyai pilihan, jika perlukan pengorbanan, hanya saya seorang yang akan meletup bersama tong itu. Jadi saya hanya berlari secepat mungkin," katanya.

Dalam tempoh empat minit, Cai mengheret tong itu ke sebuah kolam, dakwa jirannya.

China

Artikel Lain