suria

Selepas Taufan Matthew, 10 Maut Akibat Banjir Di Haiti

PORT-AU PRINCE: Selepas dibadai Taufan Matthew bulan lalu, kini Haiti berdepan bencana alam lagi apabila 10 penduduknya termasuk kanak-kanak terkorban akibat banjir.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Albert Moulion berkata, tujuh maut di bandar kedua terbesar di negara itu, Cap-Haiten.

Tambahnya, tiga lagi maut di kawasan barat laut, timur laut dan Grand Anse.

“Kami akan berwaspada kerana ramalan cuaca menyatakan, hujan akan melanda lebih kerap pada minggu ini," kata Moulion.

Sementara itu, menurut Jabatan Perlindungan Awam menerusi Twitter,  daripada jumlah itu, tiga mangsa  adalah kanak-kanak.

Pejabat presiden pada Ahad mengeluarkan kenyataan menggantung aktiviti maritim dan meminta penduduk berhati-hati serta mengosongkan rumah jika perlu.

“Presiden Republik, Jocelerme Privert mengambil berat tentang banjir yang melanda di bandar Cap-Haitien dan keseluruhan kawasannya.

“Tambahan pula, Jocelerme simpati atas semua yang berlaku, termasuk kehilangan penduduk dan kerosakan pada tanaman," katanya.

Sebelum ini, lebih 1,000 maut ketika taufan melanda, merosakkan tanaman dan menyebabkan  wabak taun, lebih-lebih lagi di kawasan barat daya Haiti, selain tanah runtuh dan terkini kejadian banjir.-Reuters

Haiti, Matthew, Albert Moulion

Artikel Sebelum

Jokowi Arah Dedah Kes Ahok

Artikel Lain