suria

Jokowi Arah Dedah Kes Ahok

Jokowi pada sidang media selepas tunjuk perasaan yang bertukar ganas selepas penduduk Indonesia tidak puas hati dengan kenyataan Ahok yang menghina Islam. Turut hadir Tito Karnavian (kiri).

JAKARTA: Presiden Joko Widodo mengarahkan pasukan keselamatan Indonesia mendedahkan di televisyen kes melibatkan Gabenor Jakarta, Basuki 'Ahok' Tjahaja Purnama yang didakwa menghina Islam.

Susulan itu, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian berkata, pasukan penyiasatnya sedang bersiap sedia untuk melaksanakan arahan itu.

"Presiden berpendapat, pendedahan kes itu sepatutnya disiarkan di televisyen. Ia adalah arahan beliau kerana mahu prosedur lebih telus," katanya yang turut disertai Setiausaha Negara, Pratikno.

Menurutnya, kes tersebut juga bakal didedahkan di hadapan wartawan walaupun prosedur itu biasanya dibuat secara tertutup.

Difahamkan, pihak berkuasa akan menjemput pihak berkaitan seperti penggubal undang-undang, Suruhanjaya Polis Nasional (Kompolnas) dan individu yang memfailkan aduan terhadap Ahok termasuk Majlis Ulama Indonesia serta pakar.

"Jika Ahok didapati tidak bersalah, kes tersebut akan ditutup," jelasnya.   

Sementara itu, Buni Yani, individu memuat naik ucapan Ahok, boleh dinamakan suspek selepas didakwa menyunting rakaman itu.

Buni menafikan tuduhan itu dan memberitahu dia hanya memadamkan beberapa rakaman, namun mengaku kesilapannya ketika membuat transkrip ucapan Ahok.

Dalam perkembangan lain, 13 suspek insiden protes ganas itu didakwa atas pelbagai kesalahan, manakala 16 individu lain masih diburu.

Jumaat lalu, lebih 100,000 penunjuk perasaan menuntut penahanan Ahok yang didakwa menghina Islam menerusi kenyataannya memetik surah al-Maidah ketika berpidato di Kepulauan Seribu, bulan lalu. - Jakarta Post


 

Tito Karnavian, Ahok, Joko Widodo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain