suria

Penyakit Misteri "Paksa" Pesawat Mendarat Cemas

PESAWAT milik British Airways diiringi pasukan kecemasan selepas melakukan pendaratan di Vancouver pada 25 Oktober 2016. - MAIL ONLINE

LONDON: Syarikat penerbangan Britain, British Airways melancarkan siasatan berhubung penyakit misteri yang menjadi punca sebuah pesawat dari San Francisco, Amerika Syarikat yang menuju ke London terpaksa dialihkan ke Vancouver di Kanada untuk melakukan pendaratan cemas pada pagi Selasa.

Laporan awal oleh rangkaian berita CCN mendakwa berpuluh-puluh anak kapal, juruterbang dan penumpang pesawat Airbus A380 itu mengalami kesesakan nafas sehingga perlu dikejarkan ke hospital sebaik-baik sahaja mendarat.

Sumber dalam pesawat itu mendakwa, penyakit tersebut berpunca akibat asap enjin yang memasuki dalam pesawat dan mencetuskan penggera keselamatan, sekali gus memaksa krew penerbangan mengisytiharkan situasi kecemasan dan perlu melakukan pendaratan segera.

ANGGOTA paramedik menaiki pesawat untuk memberi rawatan awal kepada anak kapal yang mengalami penyakit misteri. - MAIL ONLINE

Namun selepas lapan jam insiden tersebut, syarikat terbabit menafikan asap enjin sebagai punca kejadian dan misteri penyakit berkenaan masih lagi disiasat.

British Airways dalam kenyataannya berkata, pesawat lain syarikat itu tidak terjejas susulan insiden tersebut dan enggan mendedahkan simptom yang dihadapi oleh kesemua pesakit termasuk 22 krew kabin dan tiga juruterbang.

Syarikat tersebut turut menyediakan penginapan hotel kepada semua penumpang yang terjejas selain memberikan penerbangan alternatif sebagai ganti.

Artikel Lain