suria

Misi Rampas Semula Mosul Bermula

Pasukan tentera Iraq bersiap sedia untuk menyerang militan Daesh di bandar Mosul.

AL-SHURA: Misi merampas semula Mosul daripada militan Daesh dipercepatkan apabila tentera Iraq dilaporkan kini mulai mara ke bandar itu bagi melancarkan serangan.

Pentagon bagaimanapun meramal pertempuran akan mengambil masa lama sebelum pasukan tentera Iraq dapat menawan bandar kedua terbesar di Iraq itu.

Ketika ini, ratusan ribu penduduk resah kerana terperangkap dalam di bandar yang berdepan saat diserang apabila kira-kira 30,000 tentera persekutuan Iraq kini berada di barisan hadapan dengan sokongan tentera udara dan darat dari 60 negara gabungan diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menyerang kubu kuat terakhir Daesh itu.

Tentera Iraq telah bersedia dengan senjata api dan peluru selain kereta perisai menuju ke Mosul dari bandar Al-Shura, kira-kira 45 kilo­meter ke selatan bandar.

Lewat Isnin Pentagon berkata, operasi telah bermula dengan baik tetapi memberi amaran ia mungkin menjadi kempen yang sukar serta mengambil masa.

“Petunjuk awal menunjukkan tentera Iraq lebih awal daripada jadual untuk hari pertama,” kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Peter Cook.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi turut mengumumkan permulaan serangan melalui ucapan di te­levisyen awal pagi semalam.

“Hari ini (Selasa) saya mengisytiharkan permulaan operasi untuk membebaskan anda daripada keganasan dan pengganas Daesh,” katanya.

Militan Daesh telah menguasai sebahagian besar Iraq dan negara jiran, Syria pada pertengahan 2014 serta mengisytiharkan sempadan negara khalifah dan melakukan kekejaman secara meluas.

Kumpulan ini telah mengalami siri kekalahan di beberapa wilayah tahun ini di kedua-dua negara dan penawanan semula Mosul dijangka mampu menamatkan kehadiran mereka di Iraq. – AFP



Mosul, Iraq, Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain