suria

Naib Presiden Iran Digesa Letak Jawatan Gara-Gara Berjabat Tangan

Gambar Masoumeh dan Hendricks berjabat tangan pada 6 Oktober lalu di Berlin mencetuskan salah faham dalam kalangan media dan penduduk Iran kerana menyangka Menteri Jerman itu merupakan seorang lelaki. - AGENSI

TEHERAN: Gara-gara salah faham, Naib Presiden Iran, Masoumeh Ebtekar menerima tekanan orang ramai agar meletak jawatan selepas didapati berjabat tangan dengan seorang menteri Jerman yang kelihatan seperti lelaki.

Kejadian itu berlaku pada 6 Oktober lalu di Berlin apabila Masoumeh mengadakan pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar Jerman, Barbara Hendricks yang merupakan seorang lesbian.

Malah cara pemakaian Hendricks yang mengenakan kot dan berambut pendek menyebabkan ramai pihak menyangka beliau merupakan seorang lelaki.

Namun akibat salah faham itu, media dan penduduk Iran menyuarakan kemarahan terhadap Masoumeh yang didakwa melanggar undang-undang Syariah yang melarang golongan bukan mahram bersentuhan.

"Kes berjabat tangan mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna laman sosial dan media.

"Mereka menyangka Menteri Jerman itu merupakan seorang lelaki," kata seorang penulis tempatan, Sadegh Ghorbani menerusi laman Twitter.

Hendricks yang mengumumkan dirinya sebagai lesbian pada 2013, merupakan golongan homoseksual pertama dalam sejarah Jerman yang berkhidmat sebagai menteri.

Iran, Jerman, Lesbian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain