suria

Indonesia Naik Cukai Rokok Mulai Januari 2017

JAKARTA: Harga rokok di Indonesia bertambah sebanyak 10 peratus mulai Januari tahun depan susulan langkah kerajaan republik ini menaikkan cukai rokok di negara itu.

Media-media tempatan memetik Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati sebagai berkata bahawa kementerian itu meluluskan peraturan mengenai kenaikan cukai bagi semua jenis dan jenama rokok berkuat kuasa 1 Januari 2017.

Beliau berkata kenaikan cukai terpaksa dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan mengawal pengeluaran dan pengunaan rokok di negara ini.

"Kenaikan tersebut harus seimbang sehingga tidak memberi kesan negatif terhadap peluang pekerjaan (industri tembakau) dan memberi ruang kepada syarikat industri kecil," katanya.

Kerajaan Indonesia menyasarkan pendapatan cukai tembakau sebanyak Rp150 trilion (RM45 juta) pada tahun depan, yang bertambah 5.7 peratus berbanding tahun ini.

Rokok tempatan yang paling popular di Indonesia ialah jenis kretek, yang diperbuat daripada bahan campuran tembakau dan bunga cengkih serta beberapa ramuan lain.

Harga rokok itu dikatakan paling murah di dunia dengan sebatang rokok kretek buatan mesin dijual kira-kira 10 sen manakala keretek buatan tangan dijual kira-kira 15 sen sebatang.

Rokok putih buatan mesin pula dijual dengan harga kira-kira 15 sen sebatang manakala rokok putih buatan tangan pula dijual dengan harga kira-kira 18 sen sebatang.

Media dalam talian memetik Penganalis Petandbiran Awam Indonesia Agus Pambagyo sebagai berkata peraturan untuk menaikkan cukai rokok itu tidak akan menjejaskan industri rokok kerana walaupun harga rokok akan berbeza secara purata sebanyak 10 peratus, ia masih lagi yang paling murah di dunia.

Beliau berkata selaras dengan kenaikan harga rokok, kerajaan juga haruslah  membanteras kegiatan pengeluaran dan penjualan rokok haram serta penyeludupan rokok.

Ini kerana, katanya kenaikan harga rokok akan memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menjual rokok murah secara haram. - BERNAMA

Indonesia, Cukai Rokok

Artikel Sebelum

Obama Kritik Trump

Artikel Berikut

Artikel Lain