Gabenor Jakarta Mohon Maaf Pertikai Surah Al-Quran Ketika Kempen - Dunia | mStar

Gabenor Jakarta Mohon Maaf Pertikai Surah Al-Quran Ketika Kempen

Basuki Thahaja (Cahaya) Purnama.

JAKARTA: Gabenor Jakarta Basuki Thahaja (Cahaya) Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok memohon maaf secara terbuka kerana menyinggung umat Islam apabila mempertikai surah Al Maidah yang terkandung di dalam Al Quran ketika berkempen di Pulau Seribu di sini, baru-baru ini.

Media dalam talian pada Rabu memetik Ahok sebagai berkata bahawa ucapannya dalam satu majlis bertemu pengundi itu sebenarnya tidak mempunyai maksud untuk mempertikai surah berkenaan dan mempersenda Al Quran.

"Saya mohon maaf dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara ini kerana saya tidak bermaksud seperti yang dilaporkan oleh pihak tertentu," katanya.

Ahok, yang mempertahankan jawatannya dengan berdepan dua pasangan pencabar,  dikatakan mendakwa ada pihak yang cuba memperdaya pengundi dengan memetik ayat 51 Surah Al Maidah yang bermaksud umat Islam dilarang memilih orang bukan Islam untuk menjadi pemimpin mereka.

Gabenor itu, yang sering mendapat perhatian media kerana berani mengambil tindakan tidak popular termasuk memindahkan penduduk setinggan dan meroboh sarang-sarang pelacuran, adalah satu-satunya calon bukan Islam yang bertanding bagi merebut jawatan Gabenor pada pilihan raya umum daerah (Pilkada) secara serentak Februari depan.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia Boy Rafli Amar dalam satu kenyataan pula berkata Bahagian Siasatan Jenayah polis menerima laporan daripada beberapa orang awam berhubung kenyataan Ahok yang didakwa mempersenda Islam.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan mengenai laporan itu dan meminta semua pihak tidak memainkan isu-isu sensitif ketika berkempen bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam kenyataannya berkata ucapan Ahok sememangnya menyalahi undang-undang kerana dianggap menghina Al Quran dan golongan ulama yang membuat penafsiran maksud surah Al Maidah itu.

Ketua Umum MUI Maruf Amin berkata ayat dalam surah itu secara jelas melarang umat Islam memilih golongan Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin mereka dan kenyataan Ahok kononnya umat Islam diperdaya dengan ayat itu adalah satu penghinaan terhadap Islam.

Menurutnya MUI sentiasa meminta kerajaan dan masyarakat supaya menjaga harmoni kehidupan beragama, bermasyarakat, berbangsa, dan mencegah setiap penodaan dan penistaan Al-Quran dan agama Islam.

Berikutan itu, Ma'ruf menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan penistaan terhadap Al Quran dan Islam, selain meminta masyarakat bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Jaringan Swadaya Warga Jakarta Raya (Jawara) yang menyokong pasangan Ahok-Djarot Saiful Hidayat meminta semua pihak berhenti memainkan isu kaum dan agama dalam meraih sekongan rakyat.

Ketua Umum Jawara Mulyadi Guntur berkata kebelakangan ini, situasi kempen Pilkada semakin mencemaskan kerana proses demokrasi dicemari dengan isu agama dan kaum, walaupun Ahok telah pun memohon maaf.

"Tiada siapa pun yang sempurna. Beliau sudah meminta maaf, sebagai bangsa Pancasila, ya dimaafkan. Soal tindakan undang-undang biarkan berjalan," katanya.

Ahok, yang bertanding atas sokongan parti PDI-P pimpinan bekas presiden Megawati Soekarnopitri serta Golkar dan Nasdem, akan dicabar dua pasangan yang bertanding atas dua lagi gabungan parti-parti politik iaitu pasangan Anies Baswedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni.

Dua pasangan itu dijangka memberi saingan sengit kerana jika Ahok proksi pengaruh Megawati, dua lagi pasangan pencabarnya melambangkan kekuatan pengaruh presiden Susilo Bambang Yodhoyono dan bekas calon presiden 2014 Prabowo Subianto.

Lebih 7.4 juta warga Jakarta layak mengundi untuk memilih Gabenor dan timbalannya pada Pilkada yang dijadualkan 20 Februari tahun depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Keadaan Kesihatan Raja Thailand Tidak Berubah

Artikel Berikut

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain