suria

Debat Presiden AS: Trump Ugut Sumbat Clinton Ke Penjara

Hillary Clinton (kiri) dan Donald Trump berhujah ketika pusingan kedua Debat Pilihan Raya Presiden di Universiti Washington dekat Missouri pada 9 Oktober 2016. - EPA

NEW YORK: Perdebatan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) semakin hangat apabila Donald Trump dari Parti Republikan mengugut untuk menghumban pencabarnya dari Parti Demokrat, Hillary Clinton ke penjara jika beliau memenangi pilihan raya tersebut.

Dalam pusingan kedua yang berlangsung di Universiti Washington pada Ahad, Clinton melabel Trump sebagai individu yang bahaya dan tidak sesuai menjadi Presiden kerana mencetuskan kontroversi diplomatik dengan Venezuela dan Rusia.

Selain itu, Clinton turut membangkitkan isu rakaman video pada 2005 yang menunjukkan Trump bergurau tentang kemahuannya untuk meraba wanita jika diberi peluang tersebut.

"Jika saya menang, saya akan mengarahkan peguam negara untuk mendapatkan pendakwa raya khas untuk mendakwa anda (Clinton) kerana terlalu banyak penipuan," kata Trump.

Kenyataan Trump itu merujuk kepada tindakan Clinton menggunakan pelayan emel khas ketika menjadi Setiausaha Negara AS, sekali gus mengundang siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Namun siasatan tersebut dihentikan atas sebab tidak diketahui.

Clinton membalas kenyataan lawannya dengan berkata, "Mujur seseorang yang memiliki sikap panas baran seperti Donald Trump tidak menguruskan hal undang-undang negara kita."

Tetapi Trump menyampuk dengan kata-kata ugutan, "Kerana anda berada di dalam penjara."

Kenyataan Trump itu mengundang kritikan ramai pihak kerana Presiden AS kebiasaannya tidak akan mengarahkan siasatan jenayah atau undang-undang ke atas individu lain.

Bekas Peguam Negara, Eric Holder mengetuai kritikan terhadap Trump dengan menyifatkan calon Parti Republikan itu sebagai berbahaya dan tidak sesuai menjadi Presiden.

Malah Holder berkata, peguam negara yang pernah berkhidmat untuk Presiden Richard Nixon juga meletak jawatan selepas diarahkan menyiasat ahli politik lawan.

"Di AS, kita tidak mengugut untuk memenjarakan lawan politik," katanya menerusi laman Twitter.

Dalam pada itu, bekas Duta AS ke Rusia, Michael McFaul berkata, kenyataan Trump itu merujuk kepada sikap pemerintah kuku besi.

"Sangat memalukan perkara ini berlaku di Amerika," katanya.


Artikel Sebelum

Lelaki Jumpa Ular Dua Kepala

Artikel Berikut

Artikel Lain