suria

AS Siap Sedia Dibadai 'Matthew'

TALLAHASEE: Jutaan penduduk Amerika Syarikat (AS) terutama di sekitar Florida dan South Carolina diarahkan berpindah ke lokasi selamat sebagai persediaan menghadapi taufan Matthew yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 26 nyawa.

Taufan Kategori Tiga itu, paling kuat melanda Caribbean dalam masa hampir sedekad, membadai Cuba dan Haiti dengan angin sekencang 230 kilometer sejam dan hujan lebat pada Selasa, mengakibatkan kemusnahan kediaman, ternakan dan tanaman.

"Kita bersiap sedia untuk berhadapan malapetaka tetapi mengharapkan yang terbaik untuk semua," kata Gabenor Florida, Rick Scott.

Beliau juga memberi amaran kepada penduduk supaya tidak ke kawasan pantai atau melakukan sebarang kegiatan di sana.

"Sebarang kegiatan di pantai bagaikan anda menempah maut dan tiada yang dapat menyelamatkan anda.

"Kekuatan angin yang melanda begitu membimbangkan," katanya seperti dilaporkan NBC News.

Sebelum ini, ribut itu memusnahkan seluruh barat daya Haiti hinggakan bot dan sampah bertaburan di jalan yang dilanda ombak besar dan menyebabkan kawasan penempatan banjir teruk.

Kira-kira 80 peratus rumah rosak di daerah Sud di Haiti, yang mempunyai lebih 700,000 penduduk.

Selain itu, anggaran 11,000 berada di pusat perlindungan di wilayah itu.

Kekuatan Matthew dikurangkan daripada Kategori Empat dalam skala kepadatan ribut Saffir-Simpson, kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC).

Ia membawa angin selaju 195 kilometer sejam pada tengah hari Rabu tetapi NHC berkata, ia boleh menjadi kuat semula ketika mendekati Florida. 


Taufan Matthew, Florida, Rick Scott

Artikel Sebelum

Artikel Lain