suria

London Eye Tiba-Tiba Terhenti, Pengunjung Terperangkap Lebih Tiga Jam

LONDON: Pengunjung yang menaiki London Eye terperangkap lebih tiga jam apabila roda gergasi itu berhenti secara tiba-tiba, demikian dimaklumkan syarikat pengendalinya pada Ahad.

Satu pusingan lengkap dengan menaiki kapsul kaca pada roda Ferris lazimnya mengambil masa selama 30 minit.

Bagaimanapun, pengunjung yang menaikinya pada Sabtu lalu terpaksa menunggu lebih lama untuk menyaksikan pemandangan waktu malam bandar raya ini ekoran masalah teknikal.

“Petang kelmarin (Sabtu) London Eye dihentikan seketika untuk diperiksa masalah teknikal pada pukul 7.21 malam (waktu tempatan).

“Pasukan teknikal kami yang pantas tiba di lokasi untuk menilai masalah dan membantu pengunjung turun dari London Eye.

“Semua pengunjung selamat turun pada pukul 10.40 malam dan diiringi kakitangan London Eye,” kata seorang jurucakap syarikat kepada agensi berita AFP.

Syarikat berkenaan menyatakan pengunjung tidak berdepan sebarang risiko dan pihaknya bersedia memulangkan bayaran tiket.

Seorang pengunjung memberitahu akhbar Evening Standard, dia berada di dalam kapsul pada bahagian paling atas ketika roda Ferris terhenti.

“Pada mulanya, semua orang ketawa tetapi kemudian mereka semakin gusar.

“Ada seramai 22 orang dalam kapsul kami tetapi hanya terdapat lima atau enam selimut kecemasan, air minuman dan pil glukosa. Saya sememangnya marah kerana kami tiada makanan dan cuaca amat sejuk. Saya berada di atas selama tiga jam,” kata Adil Raja kepada akhbar itu.

London Eye kembali beroperasi pada Ahad lalu.

Tarikan untuk menyaksikan pemandangan bandar raya itu dibuka pada 9 Mac 2000 dan menjadi salah satu ikon terkemuka bandar London.

Ia didirikan di tebing Sungai Thames berhadapan dengan Ba­ngunan Parlimen, roda Ferris setinggi 135 meter itu mempunyai sebanyak 32 kapsul dan setiap satu boleh memuatkan seramai 28 penumpang. – AFP



London Eye, Sungai Thames

Artikel Sebelum

Aleppo Bagai 'Neraka' - PBB

Artikel Lain