suria

Budak 11 Tahun Lalui Perjalanan 400km Sendirian Untuk Rawatan Leukimia

BEIJING: Selama setahun, seorang budak lelaki berusia 11 tahun ulang alik dari rumahnya ke hospital sejauh 400 kilometer, bagi mendapatkan rawatan penyakit leukimia yang dihidapinya, menurut laporan Guiyang Evening Daily.

Shi Luyao, berasal dari kampung Bengjing di kota Liupanshui, wilayah Guizhou, tinggal bersama datuk dan neneknya, selepas ditinggalkan ibunya ketika berusia dua tahun.

Ketika di Tahun Tiga persekolahan, bapanya menjaganya semula dan membawa Luyao ke tempat kerjanya di wilayah Anhui.

Pada 2013, menerusi pemeriksaan kesihatan semasa Luyao mengalami demam panas, keputusan menunjukkan dia menghidap leukimia limpositik akut (ALL), jenis leukimia yang sering dihidapi kanak-kanak.

Bagi memastikan penyakit ini sembuh, dia perlu menjalani rawatan kimoterapi dalam jangka masa yang panjang.

Selain bil perubatan yang tinggi,  Luyao perlu berhadapan situasi memenatkan apabila jarak perjalanan antara hospital dan tempat tinggalnya yang jauh.

Bapanya terpaksa meminjam 200,000 yuan (RM123,775) selama dua tahun, kerana hanya 30 peratus daripada bil ditanggung syarikat insuran.

Pada rawatan seterusnya, neneknya pula yang menjaganya, kerana bapanya perlu bekerja kembali bagi menyelesaikan bayaran rawatan tersebut.

Pada Ogos tahun lepas, Luyao kembali ke wilayah Guizhou selepas keadaannya beransur pulih, tetapi perlu menjalani biopsi sum sum tulang bagi memastikan keadaan kembali normal.

Bagi mengurangkan beban keluarganya, dia menjalani rawatan di Kunming, yang terletak lebih 400 kilometer jauh dari rumahnya.

Kali pertama Luyao membuat rawatan di sana, dia menaiki bas ke kota Liupanshui, dan perlu menunggu keretapi selama enam jam pada pukul 3 pagi.

“Ketika itu, saya nak menangis tetapi saya tahan kerana tidak mahu orang lain tahu saya keseorangan,” jelas Luyao.

Selepas biopsi sum sum tulang tamat, Luyao sepatutnya perlu berehat seketika sebelum mula berjalan.

Namun, disebabkan dia tidak mahu ponteng sekolah, budak lelaki itu menguatkan semangatnya untuk terus bangun dan pulang ke rumah dengan menaiki bas di Liupanshui.

“Saya tidak ingat berapa kali saya saksikan matahari terbit di stesen keretapi,” kata Luyao sambil menangis.

Walaupun Luyao perlu meninggalkan sekolah selama dua tahun kerana leukimia, dia tidak pernah berhenti belajar, malahan sering meminjam buku dan belajar sendiri.

Selepas keadaanya beransur pulih, dia meminta datuk dan neneknya menghantar kembali ke sekolah.

“Walaupun dia kelihatan lemah dan keseorangan, tetapi dia memperoleh keputusan yang bagus,” kata Peng Lu, guru bahasa Luyao.

Menurut Peng, sejak dia kembali ke sekolah, gred Luyao masih di tempat teratas, selain tidak pernah lambat menghantar kerja sekolah.

Pada awalnya, Peng terkejut apabila diberitahu bahawa Luyao menghidap leukimia.

Bagi mengelakkan Luyao keseorangan, Peng mengatur empat rakan sekelasnya untuk belajar bersama serta menemaninya.

Menurut doktor, rawatan Luyao sudah memasuki peringkat seterusnya dan berharap akan sembuh tanpa menjalani pemindahan sel stem.

Rawatan untuk anak istimewa ini dijangka mengambil masa selama dua tahun lagi.

 
leukimia, Shi Luyao

Artikel Berikut

Artikel Lain