suria

MH17: Laporan Siasatan Disiar Petang Rabu

AMSTERDAM: Pasukan penyiasat antarabangsa berhubung kejadian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, akan menyiarkan laporan kes itu pada Rabu.

Bagaimanapun, dijangka tiada dakwaan dikemukakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tragedi itu ekoran kekangan politik dan perundangan.

Pasukan penyiasat itu yang turut melibatkan pendakwa raya dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, dijangka membuat pengumuman laporan tersebut pada pukul 11 pagi waktu tempatan (7 petang waktu Malaysia).

Laporan berkenaan akan mendedahkan senjata yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 dan lokasi sebenar senjata berkenaan ditempatkan ketika hari kejadian.

Terdahulu, pendakwa raya dari Belanda, Fred Westerbeke berkata, pihaknya memiliki senarai panjang individu yang berkait rapat dengan kes itu dan telah menjalankan analisis terhadap serpihan pesawat serta senjata yang ditemukan di lokasi tragedi.

Malah kumpulan penyiasat itu membayangkan untuk mengemukakan jenis dakwaan, sebagai contoh jenayah kecuaian, tetapi masalah perundangan mungkin menjadi halangan.

Pada 2015, Belanda mencadangkan tribunal yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengendalikan kes itu tetapi Rusia menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB bagi membatalkan usul tersebut.

Ukraine dan kerajaan barat menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia atas kejadian tersebut, tetapi Moscow menafikan dakwaan itu dan menuding jari kepada Kiev yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

Pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh, kebanyakannya rakyat Belanda.

Nahas terbabit berlaku di kawasan konflik antara tentera kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-Rusia, menyebabkan dua pihak bertelagah itu saling menyalahkan antara satu sama lain atas kejadian itu. - REUTERS

MH17

Artikel Sebelum

Lagi Kes Gajet Ganggu Penerbangan

Artikel Lain