suria

Thailand Serah Suspek Kes Pemerdagangan Orang Jika Penuhi Syarat

Gambar hiasan.

BANGKOK: Thailand akan menyerahkan 10 suspek yang mendalangi kegiatan pemerdagangan orang seperti yang diminta Malaysia sekiranya mereka (suspek) memenuhi syarat yang ditetapkan, kata Jen Prawit Wongsuwan.

Timbalan Perdana Menteri Thailand itu berkata pihak berkuasa negara ini, terutama Biro Polis Imigresen, masih memproses permohonan Malaysia agar 10 suspek berkenaan diserah kepadanya.

"Biro Polis Imigresen masih menimbang sama ada suspek memenuhi syarat ditetapkan.

"Jika mereka memenuhi syarat, kami akan menghantar mereka ke Malaysia," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di sini Selasa.

Prawit, yang juga menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri, berkata 10 suspek berkenaan yang diminta dihantar ke Malaysia itu adalah warga asing dan tiada seorang pun warga tempatan.

Bulan lepas, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Bangkok bersetuju menyerahkan 10 suspek berkenaan seperti yang diminta Malaysia.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Prawit, yang melakukan lawatan kerja dua hari ke Kuala Lumpur.

Malaysia dan Thailand meningkatkan kerjasama memerangi jenayah berkaitan pemerdagangan orang selepas penemuan kubur besar di sempadan bersama.

Menurut kenyataan dikeluarkan Mahkamah Keadilan Thailand pada 26 Ogos, kes pemerdagangan migran Rohingya itu melibatkan 103 defendan yang terdiri daripada eksekutif dan anggota majlis tempatan, pegawai kerajaan, polis dan anggota tentera serta seorang jururawat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain