suria

Letupan New York: Penyiasat Jumpa Periuk Tekanan, Usaha Jejaki Suspek Dipergiat

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat menjalankan siasatan di lokasi letupan.

NEW YORK: Sehari selepas insiden letupan yang mencederakan 29 orang di Manhattan, polis sedang mencari petunjuk bagi menjejaki suspek yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti dalang di sebalik tragedi hitam itu.

"Kami tahu ia insiden yang amat serius tapi lebih banyak kerja perlu dilakukan untuk mengetahui motif serangan.

"Adakah ia dilakukan atas unsur politik? Adakah ia berunsur peribadi? Kami masih belum mengetahui puncanya," kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio.

Beberapa blok tidak jauh dari lokasi letupan, pasukan penyiasat menjumpai satu bahan bukti yang berkemungkinan besar digunakan dalam letupan itu.

Bukti itu adalah sebuah periuk tekanan dengan wayar berwarna gelap disambungkan dengan pita pelekat berwarna perak yang kelihatan seperti sebuah telefon bimbit.

Video pengawasan pada Sabtu menunjukkan seorang lelaki mengheret sesuatu yang kelihatan seperti bag duffel dengan roda berhampiran lokasi letupan di West 23rd Street kira-kira 40 minit sebelum insiden itu.

Malah lelaki sama turut dilihat bersama dengan beg itu di West 27th Street kira-kira 10 minit kemudian.


Dalam video itu, lelaki tersebut meninggalkan beg berkenaan di mana polis menjumpai sebuah periuk tekanan yang tidak meletup.

Selepas lelaki itu berlalu pergi, video menunjukkan dua lelaki mengalihkan beg sampah berwarna putih dipercayai mengandungi periuk tekanan daripada beg duffel dan meninggalkannya di kaki lima, kata seorang pegawai kanan penguatkuasa undang-undang.

Pasukan penyiasat belum menentukan hubungan antara dua lelaki itu dan seorang lelaki yang mengheret beg duffel tersebut, kata sumber.

Terdahulu, seramai 29 orang dilaporkan cedera ringan dalam kejadian letupan di kawasan penempatan Chelsea di sini pada malam Sabtu.

Jurucakap polis, J. Peter Donald berkata, letupan terbabit berlaku kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan di West 23rd Street yang terdapat banyak restoran.

Jelas beliau, beberapa mangsa dibawah ke hospital untuk rawatan lanjut dan Jabatan Bomba mengesahkan tiada kecederaan yang boleh membawa maut.

Tiada butiran lanjut mengenai kerosakan yang dialami akibat kejadian itu dan punca sebenar letupan masih belum diketahui.

Insiden tersebut berlaku beberapa jam selepas sebutir bom paip diletupkan di Seaside Park, New Jersey ketika beribu-ribu peserta acara maraton amal bersiap sedia memulakan larian.

Insiden tersebut menyebabkan acara itu dibatalkan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

letupan, New York, periuk tekanan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain