suria

Pertukaran Kiswah Kaabah Peristiwa Penting Musim Haji

MAKKAH: Tradisi sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW diteruskan apabila kelambu atau kiswah Kaabah yang baru bernilai RM23.7 juta ditukar sejurus selepas Subuh pada Ahad.

Kiswah Kaabah menggunakan kain sutera berkualiti tinggi yang diimport dari Itali, 120 kilogram benang emas dan 120 kilogram benang perak tulen yang dihasilkan di Jerman.

Untuk menyiapkannya pula, pekerja di kilang di Jiyad mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan.

Antara kalimah atau ayat yang tertera pada kiswah itu ialah kalimah syahadah, surah Ali Imran ayat 96, al-Baqarah ayat 144, surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

Pertukaran kelambu Kaabah adalah antara peristiwa penting setiap kali musim haji, bagi mengelak dinding Kaabah rosak kerana debu atau panas.

Kerja-kerja pertukaran kiswah Kaabah yang menjadi qiblat umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan solat itu dilakukan kira-kira 90 pekerja dan juruteknik ketika lebih 1.3 juta jemaah haji berkumpul di padang Arafah untuk berwukuf.

Sejak bangunan itu didirikan Nabi Ibrahim (AS), ia dibaluti dengan pelbagai jenis kain. Ada juga riwayat yang menyatakan Kaabah itu pernah diselubungi dengan kain yang bukan berwarna hitam pekat. 

Kelambu pertama dikatakan berwarna merah, kemudian putih, hijau dan kuning. Bagaimanapun, ketika zaman pemerintahan Abbasiyah, kiswah itu ditetapkan berwarna hitam.

Sebelum 1920-an, kiswah dibuat di sebuah kilang di Mesir, sebelum  bapa permodenan Saudi, Raja Abdulaziz Abdul Rahman Al-Saudi membina kilang Kiswah Kaabah di Jiyad pada 1927.

kiswah, Kaabah, haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain