suria

Robot Jadi Pembantu Di Terminal

TOKYO: Penguasaan Jepun dalam dunia teknologi terutamanya dalam bidang penghasilan robot canggih memang sukar disangkal lagi.

Terbaharu, syarikat teknologi Hitachi Ltd memperkenalkan robot humanoid yang akan digunakan untuk membantu pelancong yang sesat di lapangan terbang utama di negara ini.

Dikenali sebagai EMIEW3, robot setinggi 90 sentimeter itu akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabanga Haneda di Tokyo untuk membantu pelancong mendapatkan arah yang betul ketika berada di kawasan terminal.

Lebih mengagumkan lagi, robot kecil itu mampu berkomunikasi dalam bahasa Jepun dan Inggeris selain menunjukkan arah kaunter pertukaran wang.

Menurut portal Japan Times, Hitachi Ltd telah menguji keupayaan EMIEW3 tersebut pada Jumaat lalu dan robot itu dijangka akan memulakan tugas seawal bulan Disember ini.

Robot EMIEW mula diperkenalkan pada tahun 2005 sebelum keupayaannya dinaiktaraf dengan model terbaharu, EMIEW3 yang dipamerkan pada April lalu.

Model terbaharu tersebut memiliki fungsi "otak kawalan" yang boleh memproses imej dan suara, dan syarikat itu dilapor akan menambah keupayaan robot dengan memuatkan bahasa Cina dan Korea pada masa depan.


Robot, Jepun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain