suria

Lelaki Bersenjata Serbu Pawagam Di Jerman Ditembak Mati

Sekumpulan anggota polis mengawal ketat bahagian luar pawagam. -fotoAP
VIERNHEIM (Jerman): Seorang lelaki bersenjata dan bertopeng mengurung dirinya dalam sebuah pawagam multipleks di sini bersama puluhan orang awam yang lain, Khamis, sebelum ditembak mati oleh polis.

Tiada seorang pun cedera dalam kejadian yang berlaku di bandar barat Viernheim, 75 kilometer dari selatan Frankfurt, kata Menteri Dalam Negeri Hesse, Peter Beuth.

"Penyerang itu bergerak melalui kompleks pawagam ... dan kelihatan keliru," katanya.

"Terdapat tebusan di dalam pawagam dan berlaku satu pertempuran (dengan polis) sehingga akhirnya dia mati."

Beuth menambah: "Kami tidak mempunyai maklumat bahawa ada sesiapa yang cedera."

Sumber keselamatan yang dipetik oleh agensi berita Jerman DPA berkata apa yang berlaku 'tiada kaitan dengan keganasan', selepas berlakunya beberapa serangan maut di bandar-bandar besar termasuk Paris, Brussels dan Istanbul.

Jurucakap polis berkata, penyerang itu dilihat membawa sebuah beg.

Akses kepada pawagam telah ditutup untuk beberapa jam bagi membolehkan polis mencari kemungkinan bahan letupan tetapi akhbar tempatan, Mannheimer Morgen, kemudian memetik polis sebagai berkata tiada bahan letupan ditemui.

Laporan awal menyatakan puluhan orang telah cedera, dengan polis dilihat menghantar unit bersenjata elit ke lokasi kejadian, memakai topi keledar dan jaket kalis peluru.

Kecederaan yang dilaporkan kemudian merujuk kepada penggunaan gas pemedih mata oleh polis.

Pihak berkuasa berkata, mereka tidak mempunyai maklumat mengenai motif atau identiti lelaki itu.

Laporan media menyatakan bahawa lelaki bersenjata itu dilihat memasuki bangunan itu dengan 'tali pinggang peluru' yang diletakkan di bahunya.

Jurucakap polis berdekatan Darmstadt berkata mereka sedang menyiasat jenis senjata yang digunakan.

Huri Blakaj, 21, sedang berada di belakang kaunter tiket ketika melihat penyerang yang disifatkan sebagai kecil dan kelihatan muda menuju ke arahnya.

Blakaj menekan butang panik yang terletak di bawah daftar tunai.

"Dia mengacukan pistol kepada saya," kata Blakaj.

Penyerang, yang bercakap dalam bahasa Jerman memberitahu juruwang lain supaya tunduk di atas tanah dan mengarahkan Blakaj untuk menutup pintu bangunan tersebut.

Apabila Blakaj bertanya kepadanya sama ada dia mahukan wang, lelaki itu menjawab 'tidak'.

Tidak lama selepas itu, Blakaj berkata, dia mendengar bunyi tembakan kira-kira 20 saat.

Menteri Dalam Negeri Hesse, Beuth, berkata: "Kami menerima panggilan mengatakan bahawa seorang lelaki telah menyerbu pawagam.

"Empat tembakan dilaporkan," katanya.

Kira-kira tiga jam selepas kejadian, polis mula meninggalkan tempat kejadian.

Tembakan rambang dan terbuka jarang-jarang berlaku di Jerman di mana pemilikan senjata adalah biasa tetapi jualan dan penyimpanan senjata api adalah tertakluk kepada peraturan yang ketat.

lelaki bersenjata, kes tembak

Artikel Lain