suria

Gajet Baharu Kesan Tandas Kotor, Perlu Dicuci

SINGAPURA: Sekumpulan jurutera penyelidikan daripada Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) telah mencipta satu sistem pemantauan tandas yang boleh memberi isyarat apabila sesebuah tandas itu perlu dibersihkan.

Sistem itu mengesan kekerapan penggunaan tandas dan mempunyai sensor untuk mengukur tahap bau seperti ammonia, yang terdapat dalam air kencing dan hidrogen sulfida yang terdapat dalam najis.

Teknologi itu, yang dipanggil Sistem Visitilizer Tandas, telah melalui percubaan di lebih daripada 60 tandas awam di negara ini sejak dua tahun lalu, di tempat-tempat seperti Marina Bay Sands (MBS), Zoo Singapura dan River Safari.

Tandas di sembilan pusat makanan, seperti Tiong Bahru, Maxwell dan pusat makanan Serangoon Gardens turut termasuk dalam lokasi percubaan.

Sistem yang dibangunkan pada tahun 2013 itu kini telah dilesenkan kepada Convergent Smart Technologies, sebuah syarikat kecil dan sederhana tempatan.

Pengarahnya Cedric Hoon berkata sistem itu telah menerima ulasan yang baik daripada konraktor pembersihan. Kosnya pemasangan satu set sensor untuk dua buah tandas adalah kira-kira $1,700 hingga $ 2,000.

Pengurus pembangunan industri Institut A *Star untuk Penyelidikan Infocomm, Dennis Quek berkata tandas awam biasanya dibersihkan selang beberapa kali sehari, tidak kira berapa kerap ia digunakan.

Sesetengah firma pembersihan juga bertindak atas aduan, yang kebanyakan berkaitan dengan bau, katanya.

Hoon berkata pekerja pencuci mempunyai jadual untuk memeriksa tandas sehingga enam kali sehari, yang membawa kepada pembaziran tenaga kerja.

Tandas di pusat beli-belah boleh digunakan oleh sehingga 300 orang dalam masa satu jam, manakala di pusat-pusat makanan, kadarnya adalah kira-kira 100 hingga 150 kali satu jam.

Teknologi baru itu menawarkan pilihan 'cucian apabila ada permintaan' yang membolehkan penyelia menggunakan sumber-sumber dengan lebih cekap, kata Quek.

Berdasarkan tandas yang telah melalui ujian sistem itu, terdapat peningkatan sebanyak 30 peratus dalam produktiviti tenaga kerja, katanya.
gajet baharu, sistem cuci tandas

Artikel Lain