suria

Tajikistan Benarkan Presiden Berkuasa Seumur Hidup

Rakhmon yang telah berkuasa sejak 1992 berjalan keluar dari pusat pengundian bagi pungutan suara pindaan Perlembagaan Tajikistan, Ahad.

TAJIKISTAN mengadakan pungutan suara bagi meminda Perlembagaan negara itu supaya presidennya dapat melaksanakan tugas dan berkuasa seumur hidup.

Pada usia 63 tahun, Emomali Rakhmon telah mentadbir republik bekas Soviet itu sejak 1992.

Sepanjang 24 tahun itu, dia dapat mengelak ditentang pihak pembangkang dan pungutan suara itu dijangka diluluskan dengan mudah.

Parti pembangkang tungggal, The Islamic Revival Party telah diisytiharkan sebagai pertubhhan pengganas selepas didakwa terlibat dalam insiden untuk menjatuhkan kerajaan pada September lalu.

Susulan itu, lebih 10 pemimpin parti berkenaan telah didakwa kerana terlibat dalam gerakan itu.

Antara pindaan yang dibentangkan adalah mengurangkan usia minimum presiden daripada 35 kepada 30 tahun, di mana ia akan membolehkan anak lelaki Rakhmon yang kini berusia 29 tahun untuk bertanding pada pilihan raya presiden pada 2020.

Sehingga pukul 6 petang waktu tempatan iaitu dua jam sebelum tempoh mengundi bagi pungutan suara itu tamat, sejumlah 88 peratus penduduk yang layak telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun timbul kesangsian apabila pengundi tidak pasti intipati pindaan yang dicadangkan, sebaliknya hanya diarah supaya mengundi bagi menyokong perubahan Perlembagaan negara itu.

Malahan, pengundi diminta bersetuju dengan 41 pindaan walaupun kertas undi tidak mencatatkan secara terperinci intipati perubahan itu.


Tajikistan, Emomali Rakhmon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain