suria

Mangsa, Waris Serangan 9/11 Dibenar Saman Arab Saudi

WASHINTON: Selepas 15 tahun, mangsa serangan 11 September (9/11) dan waris masing-masing kini dibenarkan menyaman Arab Saudi berhubung peranan negara itu dalam serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 2001.

Ia termaktub apabila Dewan Senat (AS) meluluskan rang undang-undang berkenaan iaitu Akta Keadilan Menentang Penajaan Keganasan.

Peruntukan ini diluluskan sebulat suara oleh Senat dan akan diusulkan ke Dewan Perwakilan untuk tindakan selanjutnya.

Mengikut undang-undang baharu itu, waris mangsa serangan 9/11 boleh memfailkan kes mereka di mahkamah persekutuan terhadap kerajaan asing, terutamanya Arab Saudi untuk menuntut pampasan jika negara terbabit didapati bertanggungjawab dalam serangan itu.

Seramai 15 orang daripada 19 penyerang 9/11 merupakan warganegara Arab Saudi. Namun, sehingga kini tiada bukti yang mengaitkan penglibatan Arab Saudi dalam serangan didalangi kumpulan Al-Qaeda itu.

White House sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Presiden AS, Barack Obama menentang udang-undang itu kerana ia akan menghapuskan doktrin imuniti untuk negara berdaulat.

Obama melawat Arab Saudi pada April lalu dalam usaha memulihkan hubungan antara Washington dan Riyadh yang semakin renggang.

“Undang-undang ini akan mengubah undang-undang antarabangsa mengenai imuniti negara berdaulat. Obama bimbang undang-undang ini akan menyebabkan Washington terdedah kepada sistem kehakiman lain di seluruh dunia,” kata jurucakap White House Josh Earnest.

Malahan, katanya, undang-undang itu akan mengancam rakyat AS yang bekerja di luar negara.

Pada bulan lalu, akhbar New York Times melaporkan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir sebagai berkata, sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, Riyadh akan menjual rizab sekuritinya aset lain di AS berjumlah AS$750 bilion (RM3 trilion) bagi mengelakkan ia dibekukan mahkamah persekutuan. – AFP



AS, 9/11, Arab Saudi, Dewan Senat

Artikel Lain