suria

Aktivis Indonesia Bantah Rampasan Buku Berhaluan Kiri

Sidang media aktivis yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa Indonesia merampas buku yang mengetengahkan propaganda berhaluan kiri baru-baru ini.

SEKUMPULAN aktivis dan pelajar warga Indonesia yang melanjutkan pengajian di luar negara mengutuk tindakan pihak berkuasa negara kelahiran mereka kerana merampas buku yang memaparkan propaganda berhaluan kiri.

Jaringan 123 pelajar itu melibatkan penuntut universiti di sekitar Australia, Jepun, Lubnan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Jika tindakan itu dibiarkan berterusan, ia boleh dianggap umpama keganasan kerajaan terhadap rakyat sendiri," dakwa mereka.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, mereka menganggap operasi dan rampasan buku itu mencemari hak rakyat untuk memperoleh ilmu dan ia lebih bersifat anti-intelektualisme dan melanggar Perlembagaan negara yang melindungi hak awam.

Malahan, kumpulan pelajar itu juga menggesa Presiden Joko Widodo menghentikan sementara sebarang tindakan untuk menghalang rakyat Indonesia daripada menuntut ilmu termasuk menerusi pembacaan buku berhaluan kiri.

Antara pelajar yang tampil menyuarakan pandangan mereka adalah pemenang anugerah pengkritik filim dan pengarang, Eric Sasono dari King's College, London; ahli muzik dan pekerja sosial, Rara Sekar Larasati dari Universiti Wellington, New Zealand dan pengasas pemerhati televisyen, Remotivi Roy Thaniago dari Universiti Lund, Sweden.

Baru-baru ini, pihak keselamatan Indonesia merampas buku yang menyebarkan fahaman berhaluan kiri milik rakyat tempatan susulan arahan Jokowi supaya tindakan diambil terhadap sebarang pengedaran simbol komunis.

Bagaimanapun, Setiausaha Kabinet, Pramono Anung berkata, Jokowi mengakui pegawai tertinggi tentera dan polis telah bertindak keterlaluan susulan arahannya itu.

Malahan, kata Pramono, Presiden Indonesia itu berpendapat rakyat seharusnya menghormati kebebasan media dan ahli akademik sebagai sebahagian aspek demokrasi negara.

Joko Widodo, Eric Sasono

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain