suria

Militan IS Serang Kafe Penyokong Real Madrid, 14 Maut

Anggota keselamatan meninjau sekitar kafe penyokong Real Madrid yang dipenuhi darah dan kesan bom selepas diserang militan IS dan mengakibatkan 14 maut, Jumaat.

BALAD: Enam lelaki bersenjatakan AK-47 dan bom tangan menyerang kafe yang sering menjadi tumpuan penyokong kelab bola sepak Real Madrid di bandar ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 14 maut, manakala 20 lagi cedera.

Serangan militan Negara Islam (IS) di utara Iraq pada tengah malam itu berlaku ketika kira-kira 50 penyokong kelab itu berada di kafe berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan poster logo, pemain dan jurulatih kelab itu, Zinedine Zidane yang tergantung pada dinding kafe itu disimbahi darah.

“Anggota kumpulan IS masuk ke kafe dengan bersenjatakan senapang AK-47 dan bom tangan lalu menembak secara rambang ke arah semua orang di dalamnya,” kata Timbalan Gabenor wilayah Salaheddin, Ammar Hekmat al-Baldawi.

Katanya, empat daripada penyerang terbabit meletupkan diri dalam serangan berkenaan yang turut menyebabkan beberapa anggota polis dan militia Syiah terbunuh.



Presiden kelab penyokong Real Madrid Iraq, Ziad Subhan berkata, tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa militan IS tidak sukakan sukan bola sepak dan menganggapnya sebagai tidak Islamik.

Sementara itu, kerajaan Sepanyol dan kelab Real Madrid dalam satu kenyataan mengecam serangan berkenaan.

Pasukan berkenaan juga memutuskan semua pemainnya akan memakai kain lilit lengan berwarna hitam semasa perlawanan terakhir menentang pasukan Deportivo dalam penentuan merebut gelaran juara La Liga selepas cuma mengatasi kelab Barcelona dengan hanya satu mata.



IS dalam kenyataannya pula berkata, serangan terbaharu itu adalah kempen bagi memperingati pemimpin nombor dua kumpulan itu, Abdel Rahman Mustafa al-Qaduli yang terbunuh dalam serangan pada Mac lalu. 


Balad, IS, AK-47, Zinedine Zidane

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain