suria

Pilihan Raya Filipina: Pencabar Terdekat Mar Roxas Mengaku Tewas Kepada Duterte

Calon presiden Filipina Mar Roxas melambai kepada penyokong-penyokongnya selepas sidang media mengumumkan dirinya tewas kepada calon Rodrigo Duterte, Selasa. -fotoAP
MANILA: Suasana penuh emosi dapat dilihat di ibu pejabat Parti Liberal apabila calon yang bertanding, Mar Roxas mengaku tewas kepada seorang lagi calon presiden, Rodrigo Duterte pada Selasa.

Duterte mendahului Roxas dengan sekurang-kurangnya enam juta undi. Roxas mengatasi Senator Grace Poe di tempat kedua.

"Menurut keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec), Datuk Bandar 'Digong' adalah pemenang yang jelas. Saya ucapkan selamat berjaya, Datuk Bandar Duterte. Kejayaan anda adalah kejayaan rakyat Filipina," kata Roxas.

Penyokong Roxas dilihat menangis ketika beliau menyampaikan ucapannya di ibu pejabat Balay di Cubao, bandar Quezon. Roxas ditemani isterinya Korina Sanchez.

Turut bersama Roxas adalah gandingan beliau Leni Robredo, yang kini mendahului persaingan naib presiden, menurut kiraan separa dan tidak rasmi terkini daripada Comelec.

Roxas mengikut jejak pesaingnya Poe, yang menyerah kalah kepada Duterte melalui telefon padatengah malam Isnin.

Calon pentadbiran itu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan sukarelawan yang membantu beliau dalam kempen.

Sebelum membuat pengumuman itu, Roxas bertemu dengan Senator Franklin Drilon dan Speaker Feliciano Belmonte Jr. - The Philippines Inquirer/Asia News Network
pilihan raya Filipina, Mar Roxas

Artikel Lain