suria

Pelajar Perubatan Thailand Dikesan Menipu Ala Mission Impossible

Kamera pengintip tanpa wayar digunakan pelajar perubatan untuk menipu ketika menduduki peperiksaan di sebuah universiti di Thailand.

BANGKOK: Kolej perubatan terkemuka di Thailand mengesan pelajarnya menggunakan kamera pengintip yang dihubungkan dengan jam pintar untuk menipu semasa menduduki peperiksaan.

Dianggap umpama babak filem Mission Impossible, perbuatan pelajar kolej itu didedahkan Pengarah Universiti Rangsit, Arthit Ourairat.

Beliau memuatnaik gambar peralatan menipu berteknologi tinggi menerusi laman Facebooknya pada 8 Mei dan susulan itu pengumuman dibuat untuk membatalkan peperiksaan itu.

Tiga pelajar yang memakan cermin mata dengan kamera tanpa wayar pada bingkainya untuk transmit imej kepada sekumpulan individu tidak dikenali sebelum jawapan diberikan kepada pelajar menerusi jam pintar yang dipakai.

Arthit berkata, ketiga-tiga pelajar itu membayar 800,000 baht (RM91,342) setiap seorang kepada kumpulan tutor untuk mendapatkan peralatan canggih dan jawapan.

Media tempatan pada Isnin melaporkan semua tiga pelajar itu telah disenaraihitam.

"Kegiatan ini perlu didedahkan kepada umum supaya orang ramai sedar dan berjaga-jaga terutama untuk peperiksaan perubatan di mana permintaan adalah tinggi di kalangan pelajar tetapi kekosongan jawatan terhad," katanya.

Posting asal Arthit menjadi viral apabila ia mendapat perhatian pelbagai pihak yang mengkritik pelajar terlibat.

Artikel Lain