suria

Trump 'Buka Pintu' AS Buat Sadiq Khan

WALAUPUN pernah mengumumkan untuk menghalang kemasukan umat Islam ke Amerika Syarikat (AS), calon presiden parti Republikan, Donald Trump sedia memberi pengecualian kepada Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

New York Times melaporkan, Trump menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian jika pemimpin Islam yang baru memenangi pilihan raya di London itu menunjukkan teladan baik.

"Akan ada pengecualian. Jika dia memberi teladan yang baik dan melakukan tugas dengan bagus, tentunya ia sesuatu yang hebat," kata jutawan hartanah itu.

Serangan pengganas di Paris tahun lalu mendorong Trump mengeluarkan kenyataan untuk menyekat kemasukan penduduk Islam ke AS dan ia telah menimbulkan kemarahan serta kritikan pelbagai pihak.

Komen terkini Trump ini bagi mengulas kenyataan Sadiq menerusi majalah Times bahawa dia tidak dapat ke AS jika ahli perniagaan itu menjadi Presiden susulan sekatan yang akan dikuatkuasakan terhadap umat Islam.

"Tentunya saya akan dihalang memasuki Amerika jika Donald Trump menjadi Presiden, sekali gus bermakna saya tidak dapat berhubung dan bertukar-tukar fikiran dengan Datuk Bandar negara itu," kata Sadiq.

Isu kepercayaan dan agama Sadiq Khan menjadi fokus utama sepanjang kempen pilihan raya dan dikaitkan dengan golongan Muslim radikal yang menyokong ekstremis.


Donald Trump, Sadiq Khan, AS, Datuk Bandar

Artikel Lain